
Kuala Lumpur, 25 Oktober 2023, 3:39 petang – SEORANG pendatang asing tanpa izin (PATI) dikenali Malek, 48, yang telah 15 tahun tinggal di Malaysia dan menyifatkan negara ini mempunyai peluang kerja yang sangat banyak dengan gaji lumayan. Menurut Malek, dia suka tinggal di Malaysia kerana peluang untuk mencari rezeki amat mudah, namun perlu banyak usaha dan rajin bekerja. Selain menyifatkan Malaysia lubuk rezeki, mudah mendapat gaji yang lumayan, Malek dan rakan- rakannya yang lain merasa bebas tinggal dan bekerja di sini termasuk bergelar peniaga dan membina keluarga di negara ini.
Kepada sebahagian dari rakyat Malaysia, Kemasukan pendatang asing ke Malaysia ibarat ‘kudis’ yang akan mengancam keharmonian dan kemakmuran negara sekiranya kerajaan masih lambat bertindak untuk mengubah penguatkuasaan undang-undang berkaitan pelarian. Kemasukan itu perlu disekat dengan tegas oleh kerajaan melalui pindaan akta yang lebih baik walaupun bertentangan dengan undang-undang antarabangsa. Sebenarnya semua pihak perlu memainkan peranan untuk menghentikan kemasukan pendatang ini beramai-ramai. Kita perlu ikat mereka dengan undang-undang negara, bersikap tegas untuk melindungi diri terlebih dahulu.
Bermula dari persekitaran Medan Pasar dan belakang Pasar Seni, sudah mula kelihatan lautan warga Bangladesh yang menjadikan kawasan itu pusat pertemuan dengan rakan senegara dan bila menghala ke Lebuh Ampang pula, kelibat warga Nepal dan tidak kurang juga warga Myanmar, semakin ramai. Seumpama berada di Dhaka, Kathamandu, dan Hat Yai apabila berjalan di tengah kesibukan kota raya. Memetik laporan Harian Metro, lokasi tumpuan pendatang seperti Kota Raya (Jalan Silang) yang dimonopoli warga Bangladesh, Chow Kit, Jalan Raja Alang dimonopoli warga Indonesia, Selayang oleh warga Vietnam dan Myanmar, Jalan Klang Lama oleh warga Afrika, dan Cyberjaya oleh warga China dan Timur Tengah.
Pendatang asing yang kebanyakkannya haram, berani menjalankan perniagaan seperti kedai runcit, kosmetik, pusat pelacuran dan restoran, menjadikan lambakan pendatang ke negara ini menimbulkan kegusaran masyarakat tempatan. Mereka beroperasi di sebalik lesen perniagaan warga tempatan dengan taktik bernikah dengan warga tempatan. Begitu juga dengan lambakan restoran tomyam di ibu negara yang dipercayai dimiliki warga Thailand. Bermula sebagai tukang masak, mereka mengumpul wang untuk menyewa tapak di dalam restoran bukan sahaja disebabkan lebih murah berbanding menyewa kedai, malah tidak perlukan lesen perniagaan. Kedai runcit pula kebanyakannya dimiliki warga tempatan tetapi ia diuruskan warga asing.
Peluang yang diberikan oleh pemilik lesen dengan menyewakan premis kepada warga asing menjadikan aktiviti perniagaan dalam kalangan pendatang di ibu negara semakin sukar ditangani. Untuk tahun ini, DBKL sudah membatalkan berpuluh lesen perniagaan yang disewakan kepada warga asing. Semua gejala ini bukanlah perkara baharu yang mudah untuk dihakis dan perkara ini sedang giat dibendung DBKL.
#PrezCom