Kuala Lumpur, 22 Oktober 2023, 20:17 – MOHAMAD Hidayat Daim, 43, seorang lelaki yang menyamun seorang remaja di dalam lif di sebuah pangsapuri di bandar raya Johor Baharu minggu lalu, mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Johor Baharu hari ini. Mohamad Hidayat membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim, Fatimah Zahari.

Pada 15 Oktober lalu, kira-kira pukul 3.18 petang, Mohamad Hidayat didakwa menyamun sebuah telefon bimbit jenis Vivo YISA warna biru gelap milik seorang remaja lelaki berusia 14. Mohamad Hidayat didakwa di bawah Seksyen 392 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 14 tahun, dan boleh dikenakan denda atau sebat, jika sabit kesalahan.

Tular dalam media sosial sebuah rakaman video berdurasi 32 saat yang memaparkan seorang individu bertopi keledar sedang menyamun seorang remaja lelaki. Detik cemas itu berlaku di dalam sebuah lif kediaman sebuah pangsapuri di bandar tersebut.

Suspek yang positif dadah jenis morfin mempunyai empat kes jenayah dan tiga kes dadah hasil daripada semakan rekod lampau oleh pihak polis. Remaja lelaki tersebut telah membuat laporan polis pada 15 Oktober 2023 selepas kejadian tersebut.

Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, S. Thiviya, manakala tertuduh tidak diwakili peguam bela. Mahkamah menetapkan 20 November depan sebagai tarikh sebutan semula kes dan fakta kes serta jatuh hukum. Melihat kepada berbagai gejala sosial yang berlaku sekarang, rakyat perlu diingatkan supaya lebih berhati-hati walau di mana berada.

Kanak-kanak dan remaja perempuan perlu dipantau oleh keluarga dan sentiasa mengambil tahu di mana kedudukan mereka sewaktu berada di luar rumah. Kata pepatah Melayu ‘malang tidak berbau’, kita tidak akan menyangka apa akan berlaku tetapi jika kita sentiasa beringat, banyak perkara buruk dapat dielakkan.

#PrezCom