Kehidupan

 

Kuala Lumpur, 22 Oktober 2023, 14:30 – HUKUMAN penjara bukanlah petanda berakhirnya prospek kehidupan seseorang. Buktinya boleh dilihat melalui kisah inspirasi kejayaan beberapa orang banduan yang tidak menjadikan kehidupan di belakang jeruji sebagai halangan dalam menimba ilmu di peringkat menara gading. Mereka telah membuktikan bahawa status mereka sebagai banduan sebaliknya telah menjadi pemacu untuk melanjutkan pelajaran sehingga akhirnya berjaya meraih segulung akreditasi akademik di peringkat tertier.

Laporan media tempatan turut meraikan kejayaan dua graduan banduan dalam satu Majlis Konvokesyen ke-27 Universiti Terbuka Malaysia (OUM), yang diadakan di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC) bermula 14 hingga 17 Oktober lepas. Dua individu lelaki dari Sabah yang dijuluki dengan nama Farhan dan Amri (bukan nama sebenar) tersebut telah menyatakan penghargaan dan rasa bersyukur mereka atas kejayaan yang telah diraih itu walaupun kehidupan mereka hanyalah di sebalik jeruji besi.

Farhan, yang berusia 32 tahun, menjalani hukuman penjara sepanjang hayat sebagai Tahanan Limpah Tuan Yang Terutama atas kesalahan bawah Akta 302 Kanun Keseksaan pada tahun 2010. Beliau telah berada di penjara sejak berusia 17 tahun dan telah menghabiskan sebahagian besar hidupnya di belakang jeruji besi. Namun, dia memiliki keinginan yang kuat untuk membuktikan kepada keluarganya, terutama kepada mendiang ibunya, bahawa penjara bukan hanya tempat untuk menghukum, tetapi juga tempat untuk memperbaiki diri dan mencapai cita-cita.

Farhan telah menerima Diploma Pengurusan Perniagaan dan ia merupakan satu pencapaian yang luar biasa terhadap dirinya. Memetik kata-kata Farhan, “Jika dahulu saya tersilap langkah, kini saya ingin membuktikan kepada masyarakat bahwa banduan pun boleh berjaya,” ujarnya.

Turut memasang impian untuk menyambung ke peringkat Ijazah Sarjana Muda, Farhan beraspirasi untuk turut menginspirasi banduan lain bagi menyambung pengajian seraya mengubah stigma masyarakat terhadap banduan. Farhan malah turut bercita-cita untuk membantu rakan-rakan banduan mendapatkan pekerjaan dan peluang yang lebih baik melalui pendidikan.

Sementelahan itu, Amri, 30 tahun, pula telah berkongsi cerita tentang semangatnya terhadap pengajian yang diambil walaupun cara pembelajaran di dalam penjara adalah jauh berbeza berbanding situasi di luar. Hal ini kerana terdapat undang-undang ketat yang perlu dipatuhi oleh banduan semasa berada di dalam penjara. Namun, ia tidak menjadi halangan baginya untuk meraih Diploma Pengurusan Perniagaan dari OUM itu.

Amri mengakui bahawa beliau menerima sokongan besar dari keluarga dan rakan-rakan banduan, serta guru-guru yang tidak henti-henti membantu dalam usahanya untuk mendapatkan bahan pembelajaran. Dia berkongsi antara pengalaman yang mencabar adalah ketika pengajian secara dalam talian diperkenalkan yang mana akses Internet di penjara terhad. Walaupun menghadapi pelbagai rintangan, Amri akhirnya berjaya menamatkan pengajian dan ia menyifatkan kejayaan ini sebagai peluang kedua dalam kehidupannya.

Kini sedang menjalani  hukuman sepanjang hayat sebagai Tahanan Limpah Tuan Yang Terutama di Penjara Pusat Kota Kinabalu, Sabah semenja berusia 16 tahun, Amri turut menghantar pesanan kepada masyarakat luar agar sentiasa menghargai hubungan kekeluargaan.

Terdahulu, Universiti Terbuka Malaysia (OUM) telah mengumumkan bahawa ia membuka pintu peluang pendidikan kepada semua individu tanpa mengira latar belakang termasuklah banduan. Menurut kenyataan Naib Canselor OUM, Prof Ahmad Izanee Awang dalam satu laporan media pada Jun lepas menyatakan bahawa OUM terbuka menerima sesiapa yang ingin menimba ilmu dan berubah menjadi insan yang lebih baik. OUM adalah perintis dalam menerima banduan sebagai pelajarnya dan memberikan mereka kesempatan untuk memperoleh kelayakan akademik yang dapat meningkatkan peluang kerjaya mereka.

Selain itu, dengan pembelajaran dalam talian yang fleksibel, OUM menjadi pilihan utama bagi banyak banduan dek kerana keterikatan terhadap undang-undang di dalam penjara. Sebagai tambahan, keterbukaan ini membantu memberi harapan dan peluang baru kepada banduan serta memperbaiki imej Jabatan Penjara Malaysia.

Kisah Farhan dan Amri adalah bukti nyata bahawa semangat dan tekad yang kuat bersama dengan kewujudan peluang kedua dalam pendidikan boleh menghasilkan kejayaan luar biasa, walaupun dalam keadaan yang paling mencabar sekalipun. Perjuangan mereka untuk memperbaiki diri dan aspirasi untuk memberikan sumbangan positif kepada masyarakat haruslah dijadikan contoh bagi kita semua.

Kisah ini turut menggariskan bahawa pentingnya pendidikan sebagai alat untuk memperbaiki diri dan mencapai cita-cita. Ia juga ialah bukti bahawa pendidikan adalah hak asasi manusia yang penting yang sepatutnya dapat diakses oleh semua individu tanpa mengira latar belakang mereka.

#PrezCom