Gudang Autonomi Al

 

Kuala Lumpur, 13 October 2023, 18.00 – CelcomDigi Berhad (Celcom Digi) bekerjasama dengan DHL Supply Chain Malaysia (DHL), peneraju pasaran global untuk penyelesaian logistik kontrak bagi mengendalikan Sistem Pengurusan Inventori Autonomi Kecerdasan Buatan (Al) dikuasakan 5G yang pertama di Malaysia.

Dengan sokongan rangkaian 4G LTE dan sambungan 5G CelcomDigi, Pusat Logistik DHL yang terletak di Shah Alam itu dilengkapi dengan penyelesaian Al dan robotik terkini untuk pengurusan inventori yang optimum dan cekap.

Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil merasmikan gudang autonomi kecerdasan buatan (AI) dikuasakan 5G pertama di Malaysia yang dikendalikan oleh CelcomDigi Bhd dengan kerjasama DHL Supply Chain Malaysia.

Gudang itu dilengkapi dengan AI dan penyelesaian robotik terkini untuk pengurusan inventori yang optimum dan cekap, disokong oleh rangkaian 4G LTE CelcomDigi dan kesambungan 5G di Pusat Logistik Bersepadu DHL di sini.

Fahmi berkata sinergi antara CelcomDigi dan DHL yang menggunakan nilai sebenar teknologi dan penyelesaian 5G, berserta AI dan robotik wajar dipuji dan berada di landasan yang betul untuk memacu pertumbuhan ekosistem digital negara.

“Sejajar dengan aspirasi digital kerajaan, Malaysia memiliki potensi menjadi Harimau Digital Asia, memandangkan kerjasama seperti hari ini berpotensi berkembang dan meningkatkan kecekapan, inovasi dan penerimagunaan teknologi secara ketara dalam kalangan perusahaan di Malaysia serta ekonomi digital negara,” katanya ketika berucap merasmikan gudang itu di sini, pada Khamis.

Beliau berkata industri pengudangan dan logistik mempunyai potensi untuk diberikan nafas baharu dan berubah kepada gudang yang menggunakan teknologi automatik sepenuhnya, boleh beroperasi sepanjang masa dengan pengunaan teknologi 5G dan penyelesaian AI.

Fahmi juga gembira apabila pelaksanaan itu tidak akan berhenti pada tahap itu sahaja, memandangkan kedua-dua organisasi komited untuk memperluas penggunaan teknologi dan penyelesaian 5G di semua gudang DHL di seluruh negara, serta berpotensi bekerjasama dengan organisasi lain daripada industri lain.

“Apabila inovasi dan teknologi digunakan dalam dan di luar industri, saya berharap lebih banyak lagi usaha transformasi seperti yang direalisasikan hari ini,” katanya.

Kerjasama CelcomDigi dengan DHL dalam memanfaatkan teknologi 5G dan penyelesaian AI untuk sistem pengurusan inventori robotik menyediakan pengurusan gudang berbilang tingkat yang dipertingkatkan dan cekap pada standard yang optimum.

Dengan memanfaatkan potensi dron autonomi, DHL melaksanakan pengurusan inventori harian dan tugasan operasi dengan penyelesaian pengiraan stok automatik dan teknologi visi komputer secara bebas untuk mencegah ralat manusia.

Penyelesaian itu membolehkan operasi pengiraan stok yang cekap iaitu mencapai sehingga 20 kali kecekapan dengan sehingga 100 peratus kejituan dan ketepatan di samping menambahkan penggunaan ruang dalam gudang dan mengurangkan penggunaan elektrik harian.

Selain meningkatkan produktiviti, teknologi ini akan mengoptimumkan penggunaan ruang dalam gudang serta mengurangkan penggunaan elektrik harian. CelcomDigi dan DHL turut merancang meluaskan pelaksanaan dron autonomi AI dan sistem pengurusan inventori robotik di semua gudang DHL di seluruh negara.

Sementara itu, Fahmi berkata DHL kini mengendalikan 25 gudang di seluruh negara dan sedang membina sebuah lagi gudang di Bayan Lepas, Pulau Pinang yang akan beroperasi secara automasi sepenuhnya menggunakan teknologi 5G terkini. “Saya harap lebih banyak syarikat akan mengenal pasti dan memahami manfaat teknologi 5G kepada industri masing-masing untuk membantu meningkatkan kecekapan dan produktiviti perniagaan,” katanya.

#PrezCom