Kuala Lumpur, 6 Oktober 2023, 18:50 – DALAM satu kemalangan menyayat hati yang meragut nyawa ibu, bapa dan empat lagi adik-beradiknya pada 1 September, Abdullah, 15, muncul sebagai satu-satunya mangsa yang selamat. Susulan daripada itu, ramai warga netizen menunjukkan rasa simpati dan berdoa untuk kesembuhan dan pemulihannya. Berkesinambungan daripada tragedi itu, pihak keluarga dan warisnya turut berkongsi perkembangan terkini Abdullah melalui media sosial dari masa ke semasa.

Baru-baru ini, Abdur Rahman, abang kepada Abdullah telah berkongsi berita menggembirakan mengenai perkembangan adik lelakinya itu di TikTok. “Alhamdulillah, satu lagi keajaiban Allah tunjuk. Baby Doll (Abdullah) dah mula makan bubur dan semalam dia dah mula isi perut yang kurus keding,” tulisnya.

Dia turut berkongsi gambar Abdullah yang terbaring di katil dan sedang minum susu. Melalui gambar tersebut dapat dilihat Abdullah kini semakin pulih. Sebelumnya, Abdur Rahman menceritakan bahawa adiknya telah menjalani pembedahan memasukkan besi di tangan kiri dan tidak dapat bertutur dengan jelas kerana rahangnya patah.

Dalam catatan yang mendalam, Abdur Rahman meluahkan kerinduannya kepada ibu, bapa dan adik-beradiknya sambil mengakui bahawa kehilangan setiap ahli keluarga meninggalkan satu kesan yang besar dalam dirinya. Dia menulis, “Orang mengatakan dengan hilangnya seorang ibu, kita kehilangan kunci kepada doa yang terjawab. Dengan hilangnya seorang ayah, kita kehilangan contoh dedikasi tanpa henti untuk kesejahteraan keluarga. Dengan hilangnya adik-beradik, kita kehilangan teman main. Tetapi jangan risau, doa abang dan Du’o (nama panggilan Abdullah) tidak akan hilang untuk kamu semua.”

Terdahulu, satu kemalangan tragis melibatkan lima kenderaan telah berlaku di Kilometer 5, Jalan Segamat-Kuantan, menyebabkan enam ahli keluarga terbunuh dan dua cedera serius. Kemalangan ini disebabkan oleh sebuah lori pasir yang hilang kawalan dan bertembung dengan beberapa kenderaan termasuk kereta yang dinaiki oleh mangsa. Keenam-enam mangsa terbunuh adalah ahli keluarga Abdullah dan Abdur Rahman iaitu bapa, Amir Ruddin Ismail, 46; ibu, Norahimah Noor Muhamad, 43; serta adik-beradik mereka, Fatimatulzahrah, 17; Seri Khadijah Aqilah, 13; Rufaidatul Asyariyah, 10; dan Muhammad Assyakrawi, 5. Sementara itu, Abdullah yang turut berada di dalam kenderaan kereta Perodua Alza tersebut, terselamat dan cedera parah pada ketika itu.

Sehubungan dengan perkembangan positif Abdullah, orang ramai turut meninggalkan komen-komen positif dan turut mendoakan kesembuhan dan pemulihannya. Kisah kelangsungan mereka dalam menghadapi kesusahan ini adalah satu bukti ketabahan semangat manusia dan kekuatan harapan dalam menghadapi kehilangan yang sangat menyayat hati.

#PrezCom