Beras Tempatan Putih

Kuala Lumpur, 26 September 2023, 15:45 – Menyedari kesukaran rakyat untuk mendapat bekalan beras menyebabkan Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan Melaka, Dr Muhamad Akmal Saleh melakukan pemeriksaan secara mengejut di dua buah kilang beras di negeri Melaka pada Isnin.

Beliau yang juga Ketua Pemuda UMNO berkata, tindakan itu susulan aduan yang diterima daripada orang ramai mengenai ketiadaan bekalan beras tempatan di kedai runcit dan pasar raya sekitar Melaka. Menerusi video berdurasi tiga minit 24 saat, Akmal mengancam menarik lesen pengilang yang enggan mengeluarkan beras tempatan dengan paket dan harga yang ditetapkan kerajaan.

Katanya, margin keuntungan yang kecil tidak boleh dijadikan alasan oleh pengilang untuk tidak mengeluarkan beras tempatan. “Kalau awak tak mahu buat, awak cakap, saya tarik awak punya lesen. Kalau awak cakap awak rugi, ini kerajaan punya arahan tahu, RM26 (sepaket),” katanya dalam video yang dimuatnaik di Facebooknya. Video itu memaparkan Akmal sedang mendesak pengilang supaya mengeluarkan beras tempatan seperti arahan kerajaan. Bagaimanapun, tidak dapat dipastikan lokasi kilang berkenaan, namun dipercayai di Melaka.

Sebelum ini, Akmal mencadangkan supaya kerajaan mengehadkan penjualan beras putih tempatan kepada rakyat asing berikutan kenaikan harga yang didorong oleh kekurangan bekalan di pasaran. Akmal menjelaskan ia bukan soal diskriminasi, tetapi menyatakan keutamaan harus diberikan kepada rakyat tempatan. Sementara itu, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau, berkata, kerajaan negeri mengambil inisiatif mengadakan jualan beras tempatan di 28 Kompleks Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri (JAPERUN) bermula Sabtu ini.

Katanya, setiap JAPERUN akan dibekalkan sebanyak 300 kampit beras 10kg yang akan dijual pada harga RM26 sekampit. Jadi orang ramai boleh datang ke JAPERUN berhampiran dengan mereka dan kita akan adakan selagi terdapat bekalan beras tempatan ini setiap minggu pada Sabtu atau Ahad,” katanya lagi.

#PrezCom