
Kuala Lumpur , 19 September 2023 , 9.00 malam-SYED SADDIQ Syed Abdul Rahman, mendakwa dana peruntukan untuk kawasannya telah ditarik semula oleh pihak kerajaan PH-BN selepas beliau mengambil keputusan untuk tidak lagi menyokong pihak kerajaan disebabkan membantah keputusan mahkamah untuk melepaskan tanpa membebaskan Presiden UMNO iaitu Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dari 47 pertuduhan berbagai kesalahan minggu lepas.
Penarikan semula dana kerajaan untuk kawasan yang diwakilinya perlu dijawab oleh kerajaan kepada rakyat dikawasan tersebut. Penarikan semula dana tersebut telah dimaklum oleh Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) di bawah Jabatan Perdana Menteri. Selain dari itu Syed Saddiq juga mempersoalkan peruntukan sebanyak RM4 juta yang diberikan kepada Ahli Parlimen Kerajaan, manakala Ahli Parlimen Pembangkang pula tidak menerima sebarang dana bagi membantu rakyat di kawasan mereka. Apakah alasan kerajaan untuk tidak memberi dana bantuan kepada Ahli Parlimen dikawasan pembangkang?
Penarikan sokongan MUDA terhadap Kerajaan Perpaduan secara tidak langsung memberi impak kepada beberapa perkara. Ini kerana kerajaan telah hilang satu kerusi dan status sebagai kerajaan majoriti dua pertiga yang juga jumlah minimum diperlukan untuk meluluskan beberapa pembaharuan termasuk hak kewarganegaraan bagi wanita yang berkahwin dengan bukan warganegara Malaysia di luar negara serta memisahkan jawatan peguam negara dan pendakwa raya.
Menurut Ahli Parlimen Gopeng, Tan Kar Hing, Syed Saddiq cuba membentuk persepsi buruk seolah-olah kerajaan bersikap tidak profesional terhadap pembangkang dengan menghentikan projek-projek yang diluluskan selepas memilih menjadi pembangkang. Tan Kar Hing berkata lagi, beliau bimbang hujah Syed Saddiq yang sebegitu rupa seolah-olah kerajaan telah melakukan pendakwaan terpilih dan tidak menjaga kawasan pembangkang.
Menerusi Berita Harian bertarikh 8 September 2023, Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal mengemukakan usul tergempar kepada Dewan Rakyat bagi memberi laluan kepada Peguam Negara memberi penjelasan mengenai keputusan lepas tanpa bebas dalam kes Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Dalam notis usul tergempar yang disiarkan dalam Facebook, Wan Ahmad Fayhsal meminta sidang pada 11 September ini ditangguhkan mengikut Perkara 18 (1) dan (2) Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat untuk memohon penjelasan daripada Peguam Negara mengenai keputusan penarikan balik 47 pertuduhan ke atas Ahmad Zahid.
Katanya, usul ini adalah perkara tertentu kerana Dewan Rakyat berhak mengetahui perincian dan asas keputusan berkenaan kerana Timbalan Perdana Menteri adalah seorang anggota pentadbiran kanan Kerajaan Persekutuan dan seorang Ahli Dewan Rakyat.
#PrezCom