
Kuala Lumpur, 18 September 2023, 12.00 tengahari.
AFAZ, jenama motosikal kedua selepas Motosikal dan Enjin Nasional Sdn Bhd (MODENAS). KMSB Motors Sdn Bhd (KMSB) yang menandatangani perjanjian usaha sama teknikal dan pembekalan bersama Suzuki Motor Corporation (SMC) Jepun, telah merealisasikan impian Malaysia untuk mendapatkan satu lagi jenama motosikal di negara kita. Satu usaha sama yang membanggakan rakyat Malaysia.
Dalam satu kenyataan oleh KMSB, perjanjian yang telah dimeterai oleh kedua belah pihak, Suzuki telah bersetuju untuk membekalkan komponen penting untuk KMSB bagi membangunkan motosikal AFAZ dan perjanjian itu juga selaras dengan pengumuman Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030) oleh Perdana Menteri pada 1 September 2023. Usaha sama ini telah ditandatangani oleh KMSB yang diwakili oleh Pengerusi Eksekutif KMSB, Ahmad Faez Yahaya manakala SMC diwakili oleh Presidennya, Toshihiro Suzuki.
Melalui usaha sama ini, secara langsung ia akan menyumbang kepada pembangunan program industri yang berasaskan teknologi tinggi serta kemahiran yang pastinya memberi impak yang besar kepada pembangunan negara dan memenuhi keperluan kepakaran industri pembuatan tempatan, memangkin industri penjualan dan pertumbuhan tenaga kerja.
Perjanjian usaha sama ini telah disaksikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan turut dihadiri oleh Ketua Setiausaha Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Datuk Seri Isham Ishak dan Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Datuk Wira Arham Abdul Rahman.
KMSB yang bertanggungjawab dalam memperkenalkan AFAZ, akan memimpin dan memantau reka bentuk dalam industri motosikal dengan kepakaran penyelidikan, pembangunan, pemasaran & inovasi (RDCI) tempatan dengan fokus yang jelas terhadap kualiti, prestasi, dan inovasi. AFAZ dijangka akan mempunyai kedudukan yang baik untuk menarik perhatian peminat motosikal tempatan dan antarabangsa. AFAZ juga memasang impian untuk menjadi agen utama dalam pasaran motosikal tempatan dan sekali gus bersaing di peringkat ASEAN dan global dengan menerapkan unsur estetika kontemporari dan moden dalam reka bentuk mereka.
Malaysia dilihat berkemampuan untuk menjadi pemimpin dalam pembangunan industri, memperluas jaringan domestik serta memperkuatkan rangkaian nilai global dalam sektor pembuatan dan dengan adanya program NIMP 2030 yang disokong oleh empat penggerak utama yang mengintegrasikan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dapatlah negara kita memacu pertumbuhan dan pembangunan ekonomi sekali gus Malaysia boleh menempatkan diri dikalangan negara yang maju dalam bidang pembuatan.
#PrezCom