
Kuala Lumpur, 11 September 2023, 02:30 petang.
Ketua Pengarah Kawalselia Padi dan Beras, Datuk Azman Mahmood telah membuat ketetapan hanya 100 kg sahaja pembelian maksimum beras putih tempatan bagi setiap individu berkuat kuasa pada 7 September 2023. Langkah itu dibuat bagi menstabilkan bekalan beras tersebut.
Menteri Pertanian Dan Keterjaminan Makanan (KPKM), Datuk Seri Mohamad Sabu, menegaskan harga beras putih tempatan masih terkawal dan mencukupi meskipun negara ketika ini berdepan kenaikan harga beras putih import. Harga bagi beras putih tempatan masih kekal RM26 sekampit atau RM2.60 sekilogram (kg). “Insya Allah beras tempatan terkawal dan mencukupi,” katanya.
Sementara itu, ditanya tempoh yang ditetapkan bagi pembelian terhad tersebut, Azman menjelaskan, ia akan dibuat sehingga bekalan kembali stabil. Menurut Azman lagi, terdapat peniaga yang membeli beras putih tempatan sehingga 500kg hingga 700kg dalam satu masa. Oleh itu sekatan terpaksa dibuat atau dihadkan pembelian bermula daripada tarikh yang telah dikuatkuasakan. Seperti yang ditetapkan hanya 10 beg iaitu 100kg sahaja yang dibenarkan buat masa ini. Beliau bercakap tentang perkara tersebut di sidang akhbar selepas Sesi Dialog Belanjawan 2024 Sub Sektor Padi dan Beras Negara di Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) pada hari Khamis lepas.
Presiden Persatuan Beras Bumiputera Malaysia (BARIM), Ismail Awang pula berkata, anggaran jumlah subsidi diperlukan dalam industri beras negara adalah sekitar RM800 juta setahun. Beliau mengatakan bahawa Kerajaan perlu memperkenalkan subsidi dan “Beras Rahmah” adalah langkah terbaik untuk memastikan rakyat masih mampu membeli dan menikmati makanan karbohidrat yang membekalkan sumber tenaga kepada manusia itu. “Jika tiada beras yang merupakan makanan utama, rakyat hendak makan apa?”, katanya.
Peningkatan mendadak permintaan beras tempatan kebelakangan ini menyebabkan berlakunya kekurangan stok berkenaan di beberapa lokasi tertentu, namun langkah campur tangan kementerian sedang dilaksanakan dengan segera ketika ini dalam menyelesaikan isu atau masalah yang berlaku. Menerusi langkah campur tangan kementerian menerusi Program Khas Beras Putih Tempatan (BPT) itu, dijangkakan bekalan BPT negara dapat dipulihkan dalam tempoh sebulan ini.
Dalam pada itu, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata langkah campur tangan menerusi Program Khas BPT itu akan meningkatkan lebih 20 peratus kuota pengeluaran beras di pasaran seluruh negara.
Bagaimanapun, beliau menasihati pengguna supaya tidak risau atau panik sehingga membeli BPT secara berlebihan.
#PrezCom