
Kuala Lumpur, 10 September 2023, 12.52 tengahari.
Pada masa kini mungkin ada dalam masyarakat kita yang mempercayai bahawa orang yang telah meninggal dunia atau roh orang mati masih lagi berada di rumah selama 40 hari atau roh tersebut datang menziarahi keluarga yang ditinggalkan. Walau bagaimanapun, ada di antara kita yang masih bertanyakan tentang kebenarannya adakah ianya benar atau satu cerita rakyat.
Mungkin anda atau rakan anda pernah mengalaminya apabila ada saudara yang meninggal dunia dan kemudiannya beberapa hari selepas kematiannya ada kejadian-kejadian aneh berlaku dan bahkan ada suara-suara yang datangnya daripada dalam rumah yang mengatakan kedatangan roh orang mati balik ke rumahnya.
Dijengah “tetamu” tidak diundang ketika mengadakan kenduri tahlil ialah satu mimpi ngeri, apatah lagi jika tetamu berkenaan sudah meninggal dunia. Itu yang dilaporkan terjadi ke atas sebuah majlis tahlil baru-baru ini apabila tetamu yang hadir dikejutkan dengan penampakan satu entiti meyerupai si mati.
Dalam pada itu seorang mufti mengesahkan penampakan arwah dalam majlis tahlil di Mersing adalah jin Qarin yang menyamar menjadi manusia. Menerusi ciapan di X, akaun Malaysia Most Viral memuat naik rakaman video kejadian, dipercayai berlaku di Mersing, Johor.
Tinjauan pada bebenang mendapati, majoriti netizen mempersoalkan kesahihan insiden terbabit dan kerana adalah mustahil roh orang yang sudah meninggal dunia boleh kembali menampakkan diri. “Itu bukan dia tapi kembar manusia atau lebih dikenali sebagai Qarin iaitu jin yg dicipta oleh Allah sebagai pendamping manusia,” kata Prince Yoshiro yang menggunakan akaun @CoolWannabe82.
Entiti tersebut bukanlah roh si mati seperti sangkaan ramai. AbeY Mad di akaun @MrBro_Official pula berkata, entiti tersebut adalah syaitan yang cuba menyesatkan manusia. “Syaitan ni. Roh org mati tak boleh nampak macam tu menjelma macam tu. Jin tu menyamar,” katanya. Penampakan entiti sebenarnya adalah syaitan yang cuba menyesatkan manusia.
Sekiranya masih ragu, ada hadis yang menerangkan dan menceritakan tentang kisah perjalanan arwah daripada ketika nyawa dicabut oleh malaikat, daripada jasad yang dibawa ke langit sebelum pengembalian kembali arwah ke jasadnya yang ada di alam kubur atau barzakh itu tadi.
Mengulas topik sama, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan dipetik sebagai berkata, firman Allah SWT menerusi Surah Al Zumar 39:42 menjelaskan bahawa roh orang yang mati tidak akan kembali ke dunia.
Firman Allah :
اللَّـهُ يَتَوَفَّى الْأَنفُسَ حِينَ مَوْتِهَا وَالَّتِي لَمْ تَمُتْ فِي مَنَامِهَا ۖ فَيُمْسِكُ الَّتِي قَضَىٰ عَلَيْهَا الْمَوْتَ وَيُرْسِلُ الْأُخْرَىٰ إِلَىٰ أَجَلٍ مُّسَمًّى ۚ إِنَّ فِي ذَٰلِكَ لَآيَاتٍ لِّقَوْمٍ يَتَفَكَّرُونَ
Maksudnya: Allah (Yang Menguasai Segala-galanya), Ia mengambil dan memisahkan satu-satu jiwa daripada badannya, jiwa orang yang sampai ajalnya semasa matinya, dan jiwa orang yang tidak mati: dalam masa tidurnya; kemudian Ia menahan jiwa orang yang Ia tetapkan matinya dan melepaskan balik jiwa yang lain (ke badannya) sehingga sampai ajalnya yang ditentukan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi tanda-tanda yang membuktikan kekuasaan Allah bagi kaum yang berfikir (untuk memahaminya).
Ayat di atas menjadi dalil menunjukkan bahawa roh orang yang mati tidak akan kembali, bahkan Allah SWT yang berkuasa menahannya daripada kembali ke dunia.
Ini sepertimana riwayat daripada Sa’id bin Jubair Rahimahullah (tabi’en dan juga anak murid kepada Ibn ‘Abbas R.Anhuma) yang mana mengatakan bahawa telah dikumpulkan di antara roh-roh orang yang hidup dan yang telah mati (di dalam mimpi) kemudian Allah SWT menahan roh orang yang telah mati dan melepaskan roh orang yang hidup kepada jasadnya semula. Ianya juga adalah pendapat Ibn Zaid Rahimahullah. (Lihat Tafsir al-Tabari, 21/298-299),” katanya.
Jelas Pejabat Mufti lagi, ahli tafsir berpendapat bahawa roh orang yang ditahan adalah roh orang yang sudah meninggal. “Kerana itu dia tidak mungkin kembali kepada jasadnya di dunia, sedangkan ruh orang yang dilepas adalah ruh orang yang tidur. (Lihat al-Ruh oleh Ibn al-Qayyim, hlm. 31),” katanya.
#PrezCom