
Kuala Lumpur, 10 September 2023, 11.21 pagi.
Baru-baru ini timbul laporan yang memberitakan penderitaan yang merundung Sazali yang merupakan anak kepada Seniman Agung Negara, Allahyarham Tan Sri P Ramlee. Sazali, 64, dilaporkan berhasrat untuk bertemu Anwar bagi meluahkan keluh-kesah mengenai masalah kewangan yang dihadapi. Katanya, dia tidak mampu mengumpul dana untuk membiayai kos pembedahan Hamidah yang berjumlah RM14,000. Pada masa sama, katanya kesempatan itu ingin digunakan bagi membincangkan kontrak royalti 50 tahun P. Ramlee yang sudah tamat pada 50 Mei lalu. Kontrak berkenaan tamat 50 tahun selepas kematian Seniman Agung itu.
Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengutuskan Setiausaha Politik, Ahmad Farhan Fauzi untuk menyampaikan bantuan daripada pihaknya kepada Sazali P Ramlee hari ini. Anwar berharap bantuan diberikan sedikit sebanyak boleh meringankan beban yang ditanggung oleh Sazali.
Menurut Anwar, kini isteri Sazali, Hamidah Hitam, 61, juga memerlukan perhatian dan rawatan segera daripada doktor akibat masalah tulang belakang dan saraf di leher. Malang buat Sazali tatkala terlibat dengan kemalangan hingga jatuh dalam kategori Orang Kurang Upaya (OKU) dan tidak lagi punya kekuatan untuk bekerja dan mencari rezeki.
“Alhamdulillah, saudara Farhan telah berjumpa Sazali petang tadi,” katanya pada hantaran di media sosial. Anwar juga menitipkan doa supaya segala urusan Sazali dan isteri dipermudahkan. “Saya mendoakan urusan rawatan dipermudah serta lekas diberi kesembuhan oleh Allah SWT, Insya-Allah,” katanya.
Sazali, 64, kini berada dalam keadaan kurang sihat selepas ditimpa kemalangan pada Disember tahun 2021, menurut laporan akhbar tempatan. Menurut laporan portal Harapan Madani, beliau yang kini dikategorikan sebagai OKU tidak dapat bekerja dan bergantung sepenuhnya terhadap bantuan daripada Pusat Zakat Selangor (PZS) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang jumlah keseluruhannya bernilai RM750. “Kalau ikutkan, ia tidaklah mencukupi,” ujar Sazali ketika ditemui.
“Dalam keadaan sekarang, harga barangan keperluan dapur pun tinggi, ditambah bayaran elektrik dan air, apa yang diharapkan semoga dapatlah jumlah bantuan itu dinaikkan pihak terbabit,” katanya. Sazali dan isterinya Hamidah Hitam, 58 mempunyai tiga orang cahaya mata hasil daripada lebih tiga usia perkahwinannya.
#PrezCom