
Kuala Lumpur, 9 September 2023, 12.47 pagi.
Parti Tindakan Demokratik (DAP) menghormati proses dan keputusan mahkamah, namun demi prinsip keadilan dan kebertanggungjawaban, Peguam Negara Idris Harun harus memberikan penjelasan terbuka berkenaan faktor yang mendorong kepada keputusan tersebut,” kata Setiausaha Agung DAP Anthony Loke. Walau bagaimanapun DAP mengakui sebarang keputusan untuk menamatkan prosiding pendakwaan bagi melakukan siasatan lebih mendalam adalah hak budi bicara peguam negara.
Susulan daripada keputusan mahkamah melepas tanpa membebaskan Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi daripada 47 pertuduhan baru-baru ini, DAP berpendapat penjelasan secara terbuka tetap perlu diberikan oleh pihak Jabatan Peguam Negara (AGC) ekoran keputusan mahkamah itu. Menurut Loke, penjelasan amat penting bagi memastikan keyakinan orang ramai dan masyarakat antarabangsa terhadap sistem perundangan negara sentiasa terpelihara.
Loke berkata DAP mengambil maklum pandangan kritikal daripada orang ramai terhadap keputusan semalam. Ia mengundang kritikan pelbagai pihak termasuk dalam kalangan penyokong kerajaan. Perkembangan itu juga mendorong kumpulan pendesak serta orang persendirian menggesa kerajaan menyegerakan langkah mengasingkan kuasa peguam negara dengan pendakwa raya.
Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) akan mengadakan mesyuarat tergempar bagi membincangkan isu melibatkan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang dilepaskan tanpa dibebaskan (DNAA) di atas 47 pertuduhan yang dikenakan kepadanya.
Presiden parti tersebut, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, “Berdosa besar jika saya berdiam diri. Sebelum pilihan raya, mengatakan tidak akan menjadi perdana menteri yang tunduk kepada perasuah. Lepas pilihan raya bukan sahaja tunduk dengan perasuah tetapi menormalisasikan rasuah. Bermula dengan penangguhan kes selepas itu mohon gugurkan kes. Timbalan Pendakwa Raya ditukar pada saat-saat terakhir.” Beliau juga memberi amaran kepada Kerajaan Perpaduan Anwar Ibrahim untuk turun ke jalan raya jika tiada penjelasan diberikan dalam kes mahkamah Presiden UMNO, Zahid Hamidi itu.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Taman Medan, Dr Afif Bahardin berkata, apa yang berlaku terhadap kes mahkamah Zahid adalah satu ketidakadilan dan salah guna kuasa yang terang-terangan berlaku dan ia bukanlah salah mahkamah. Dr Afif Bahardin di pentas ceramah di Kempas menyoal apa lagi yang diharapkan oleh orang Cina daripada kerajaan yang diterajui Perdana Menteri Anwar Ibrahim. “Orang bukan Melayu adakah kamu sanggup biarkan negara diperintah oleh rejim yang korup? Sanggupkah kamu mempertaruhkan masa depan anak-anak kita? Inikah kerajaan yang orang Cina mahukan? Malu kalau orang Cina mau kerajaan seperti ini. Saya nak sebut ini, saya tak mahu berselindung lagi,” kata Dr Afif lagi. Tegasnya, keputusan kes Zahid ini menjadi bukti bagaimana seruan ‘reformasi’ untuk perubahan yang mengasaskan penubuhan PKR kini sudah “terkubur”. Lebih tepat, mati bersama Anwar dan Zahid. Tak ada lagi moral setanding untuk mereka bercakap tentang perubahan. Reformasi sudah mati. Mati bersama dengan Pakatan Harapan dan UMNO,” kata Afif lagi.
Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Muhyiddin Yassin mempersoalkan jika terdapat arahan daripada pihak atasan kerajaan supaya menarik balik 47 pertuduhan terhadap Presiden UMNO, Ahmad Zahid Hamidi. Sambil menyifatkan tindakan peguam negara menggunakan kuasanya mengikut Perkara 145 (3) Perlembagaan Persekutuan bagi menarik balik pertuduhan jenayah berkenaan, sebagai sesuatu yang tidak bermoral, Muhyiddin berkata apa yang berlaku adalah titik hitam dalam sistem keadilan negara.
“Yang peliknya pihak pendakwaan yang telah berjaya membuktikan kes prima facie memohon kepada mahkamah untuk menggugurkan pertuduhan. Ini amatlah tidak munasabah. Adakah ini bermakna pihak pendakwaan mengakui bahawa bukti-bukti yang dikemukakan oleh mereka di mahkamah tidak boleh dipakai? Atau ada arahan daripada pihak atasan bahawa kes ini mesti digugurkan walau dengan apa cara sekalipun,” soal Tan Sri Muhyiddin di dalam satu hantaran di Facebook.
Pada 4 September 2023, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membebas tanpa melepaskan Ahmad Zahid yang berhadapan dengan 47 pertuduhan. Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah berkata sekiranya pihak pendakwaan tidak berhasrat meneruskan pertuduhan terhadap Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada masa akan datang. Masa amat berharga pada mahkamah dan wang pembayar cukai sudah terbazir begitu sahaja. “Mahkamah merekodkan bahawa perbicaraan yang bermula pada 18 November 2019 sudah melalui tempoh 77 hari perbicaraan dengan mendengar keterangan 99 saksi pendakwaan dan 15 saksi pembelaan,” kata beliau di Mahkamah Tinggi di sini hari ini.
Beliau yang kini Hakim Mahkamah Rayuan berkata, pendakwaan melalui Peguam Negara menjalankan kuasanya mengikut Perkara 145(3) Perlembagaan Persekutuan dan Seksyen 254 Kanun Prosedur Jenayah (CPC) dan memohon DNAA. “Beberapa alasan diberikan pendakwaan termasuk terdapat keperluan menyiasat tuduhan dengan lebih lanjut dan alasan penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat kandungan buku ‘My Story: ‘Justice in The Wilderness’ oleh bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas.
Untuk rekod seseorang yang dilepaskan tanpa dibebaskan masih terikat kepada kemungkinan boleh didakwa semula pada masa hadapan jika pihak AGC ingin menyemak semula perkara tersebut. Dalam pada itu, Loke memberitahu, “DAP juga sentiasa menjunjung prinsip pengasingan kuasa di antara cabang kehakiman, eksekutif dan legislatif serta memastikan tidak ada campur tangan eksekutif dalam sebarang kes mahkamah,” katanya.
Dalam pada itu, Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Azam Baki berkata beliau menyerahkan kepada pegawai penyiasat SPRM untuk menyiasat lanjut kes pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram yang berkaitan dengan dana Yayasan Akalbudi. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Penyelidikan Governans, Integriti dan Antirasuah Peringkat Kebangsaan semalam.
#PrezCom