
Kuala Lumpur, 4 September 2023, 02.24 am
Mahkamah Tinggi di sini hari ini diberitahu bahawa representasi dikemukakan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi untuk menggugurkan 47 pertuduhan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan dana Yayasan Akalbudi (YAB) yang dihadapinya masih belum diputuskan. Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah hari ini melepas tanpa membebaskan (DNAA) Presiden UMNO dan juga Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi daripada 47 pertuduhan berkaitan dana Yayasan Akalbudi selepas membenarkan permohonan Ketua Bahagian Rayuan dan Perbicaraan Jabatan Peguam Negara ‘ Attorney Generals Chambers’ (AGC), Datuk Mohd Dusuki Mokhtar untuk melepaskan tanpa membebaskan Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid. Keputusan itu dibuat selepas pihak pendakwaan memutuskan untuk memberhentikan prosiding kes itu kerana mereka berhasrat untuk menyiasat kes itu dengan lebih mendalam.
Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah berkata sekiranya pihak pendakwaan tidak berhasrat meneruskan pertuduhan terhadap Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada masa akan datang, masa berharga mahkamah dan wang pembayar cukai sudah terbazir begitu sahaja. “Mahkamah merekodkan bahawa perbicaraan yang bermula pada 18 November 2019 sudah melalui tempoh 77 hari perbicaraan dengan mendengar keterangan 99 saksi pendakwaan dan 15 saksi pembelaan,” kata beliau di Mahkamah Tinggi di sini hari ini.
Beliau yang kini Hakim Mahkamah Rayuan berkata, pendakwaan melalui Peguam Negara menjalankan kuasanya mengikut Perkara 145(3) Perlembagaan Persekutuan dan Seksyen 254 Kanun Prosedur Jenayah (CPC) dan memohon DNAA. “Beberapa alasan diberikan pendakwaan termasuk terdapat keperluan menyiasat tuduhan dengan lebih lanjut dan alasan penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat kandungan buku ‘My Story: Justice in The Wilderness’ oleh bekas Peguam Negara Tan Sri Tommy Thomas. Beliau berkata demikian ketika memutuskan Ahmad Zahid dilepas tanpa dibebaskan (DNAA) atas 47 pertuduhan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan puluhan juta ringgit dana milik Yayasan Akalbudi. Sequerah membuat keputusan itu selepas membenarkan permohonan Ketua Bahagian Rayuan dan Perbicaraan Jabatan Peguam Negara (AGC) Datuk Mohd Dusuki Mokhtar memberhentikan semua prosiding terhadap Timbalan Perdana Menteri itu pada peringkat ini kerana mereka berhasrat menyiasat kes itu dengan lebih mendalam.
Peguam Datuk Hisyam Teh Poh Teik yang mewakili Ahmad Zahid ketika ditemui selepas prosiding di Mahkamah Tinggi berkata, pihaknya akan memfailkan rayuan dalam masa terdekat. Ahmad Zahid akan memfailkan rayuan di Mahkamah Rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang hanya melepaskan tanpa membebaskannya daripada semua 47 pertuduhan pecah amanah, rasuah, dan pengubahan wang haram berkaitan dana Yayasan Akalbudi. Sementara itu, seorang lagi peguam yang mewakili Ahmad Zahid, Datuk Ahmad Zaidi Zainal berkata, daripada tarikh anak guamnya dituduh pada 19 Oktober 2018, pembelaan mengemukakan beberapa representasi kepada Jabatan Peguam Negara (AGC). Representasi terbaharu dikemukakan untuk mengkaji semula pertuduhan dan menarik semula pertuduhan-pertuduhan itu atas alasan dan sebab yang kukuh bahawa tidak ada asas bagi pertuduhan.
Ketua Bahagian Rayuan dan Perbicaraan Jabatan Peguam Negara (AGC), Datuk Mohd Dusuki Mokhtar memberi hujah 11 alasan mengapa Ahmad Zahid perlu dilepas tanpa dibebaskan (DNAA):
- Pihak pembelaan memanggil 15 saksi termasuklah tertuduh sendiri, kami (pendakwaan) berpendapat bahawa keterangan saksi-saksi ini perlu diteliti oleh pihak pendakwaan dan juga pihak penyiasat
- Ahmad Zahid mengemukakan dua Surat Representasi kepada Jabatan Peguam Negara (AGC), masing-masing bertarikh pada 8 Disember 2022 dan 25 Januari 2023.
- Lanjutan daripada representasi yang dikemukakan oleh Ahmad Zahid, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada 20 Januari 2023, memaklumkan kepada AGC bahawa adalah penting untuk siasatan lanjut yang lebih terperinci, mendalam dan menyeluruh dibuat.
- Ahmad Zahid sekali lagi pada 28 Februari 2023 dan 7 Mac 2023 mengemukakan empat lagi Surat Representasi yang membangkitkan isu dan bukti baharu yang sudah semestinya memerlukan SPRM menyiasat perkara ini.
- Surat Representasi Ahmad Zahid turut menyentuh isu berkenaan siasatan terhadap tertuduh sebelum, semasa dan selepas dituduh di mahkamah yang dikatakan dibuat secara terburu-buru, cuai, pramatang dan tidak lengkap.
- Perkara ini sudah semestinya menyebabkan reputasi dan nama baik AGC selaku pihak pendakwaan dan SPRM selaku badan penyiasat tercemar dan dilihat melalui kaca mata umum seolah-olah kedua-dua jabatan ini adalah institusi undang-undang yang diperalatkan oleh pihak tertentu.
- Untuk tidak menafikan hak Ahmad Zahid dan lebih penting lagi, supaya tiada salah laku di sisi undang-undang berlaku (no miscarriage of justice), kami percaya bahawa semua pertuduhan terhadap Ahmad Zahid perlu diberhentikan buat masa ini, tetapi hanya memberikan kesan DNAA kepada beliau sehinggalah siasatan yang lebih menyeluruh dan lengkap selesai
- Pendakwaan percaya bahawa Mahkamah yang Mulia ini ambil maklum berkenaan pengumuman Jemaah Menteri untuk menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat isu yang dibangkitkan dalam buku memoir tulisan bekas peguam negara, Tan Sri Tommy Thomas dan pendedahan yang dibuat berkaitan pertuduhan yang dibuat terhadap individu tertentu.
- Ahmad Zahid membangkitkan isu yang serius dalam surat representasi beliau iaitu berkenaan dakwaan bahawa beliau adalah mangsa pendakwaan terpilih (selective prosecution) daripada rejim kerajaan sebelum ini. Peguam Negara berpendapat bahawa amat penting untuk pihak pendakwaan dan SPRM melihat dan turut menyiasat dakwaan ini.
- Ia adalah selaras dengan tujuan RCI yang antara lainnya bertujuan untuk menyiasat dakwaan berkenaan pelanggaran tanggungjawab profesional oleh pemegang jawatan tertinggi dalam negara.
- Satu memo dalaman yang dikatakan dikeluarkan oleh AGC berkaitan kes yang sedang dibicarakan ini tular di media sosial, AGC sedang mengambil langkah untuk menentusahkan kandungan memo dalaman itu dan berpendapat adalah penting kerana ia turut menyentuh secara langsung isu yang dibangkitkan oleh Ahmad Zahid melalui representasi yang dikemukakan serta menguatkan lagi alasan untuk siasatan secara menyeluruh dijalankan AGC bagi kes membabitkan Ahmad Zahid.
Ahmad Zaidi berkata, berikutan keputusan yang dibuat oleh Peguam Negara, pihaknya percaya ia berkemungkinan akan dimanipulasikan oleh pihak-pihak tertentu. “Namun, ingin kami tekankan di sini bahawa Peguam Negara hanya melaksanakan budi bicara yang ada sebagaimana yang diperuntukkan di bawah Artikel 145 (3) Perlembagaan Persekutuan. “Malahan, ini bukanlah kali pertama untuk mana-mana Peguam Negara menggunakan budi bicara yang ada sebagaimana yang diperuntukkan di bawah undang-undang untuk mengambil tindakan untuk menarik balik pertuduhan dari pendakwaan di mahkamah,” katanya.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid, menghantar surat representasi setebal 200 muka surat pada Januari dan Februari lalu kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) sebagai asas pertimbangan agar kesemua pertuduhan terhadapnya digugurkan. Perbicaraan kes itu kini di peringkat pembelaan. Pihak pembelaan setakat ini memanggil 15 saksi termasuk Ahmad Zahid untuk memberi keterangan.
Latheefa Koya, iaitu Bekas Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), mengkritik tindakan pendakwaan menghentikan prosiding perbicaraan 47 pertuduhan yang di kenakan kepada Ahmad Zahid sambil menyifatkan keputusan tersebut suatu yang memalukan, beliau turut mempersoalkan rasional tindakan itu dibuat sedangkan mahkamah pada 24 Januari tahun lalu telah memutuskan pihak pendakwaan berjaya membuktikan prima facie di akhir kes pendakwaan. Presiden UMNO itu yang menyatakan pertuduhan dibuat ke atasnya dilakukan secara terburu-buru.”Apa kata pegawai-pegawai SPRM yang telah berhempas pulas sepanjang hidup mereka memerangi rasuah? “Apa mesej yang hendak disampaikan oleh kerajaan ini?” Persoal beliau lagi. Dari empat puluh tujuh pertuduhan iaitu lapan tuduhan rasuah , dua belas pecah amanah dan dua puluh tujuh pengubahan wang haram membabitkan puluhan juta ringgit dana Yayasan Akalbudi.
Sementara itu, Pelantikan Datuk Ahmad Terrirudin Mohd Salleh sebagai Peguam Negara berkuat kuasa 6 Sept ini, disifatkan sebagai tepat, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said. Pelantikan Datuk Ahmad Terrirudin Mohd Salleh sebagai Peguam Negara berkuat kuasa 6 Sept ini, disifatkan sebagai tepat. Ini adalah kerana kedudukan Ahmad Terrirudin yang merupakan Peguam Cara Negara adalah nombor dua selepas Peguam Negara. Azalina juga berharap pelantikan itu akan membawa kepada kesinambungan kerja-kerja yang dilaksanakan Peguam Negara (Tan Sri Idrus Harun) dan AGC secara menyeluruh. Ahmad Terrirudin, 55, yang merupakan Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan sebelum dilantik sebagai Peguam Cara Negara pada 25 Mac 2022 menggantikan Idrus yang akan tamat tempoh lantikan secara kontrak pada 5 Sept ini.
Terdahulu, Ketua Pemuda UMNO, Dr Muhamad Akmal Saleh dipetik sebagai berkata meminta agar Ahmad Terrirudin mengesahkan sama ada berlaku atau tidak kebocoran dokumen memo dalaman AGC seperti yang tular di media sosial. Dr Muhamad Akmal juga berkata, jika kebocoran berlaku, pihaknya akan membuat satu laporan kepada SPRM dalam masa terdekat, selepas menggerakkan seluruh ahlinya untuk membuat laporan polis berhubung perkara itu.
Sebelum ini, dokumen setebal 12 muka surat bertarikh 10 Okt 2019 tersebar dalam talian, yang didakwa sebagai memo dalaman daripada pasukan pendakwaan bagi kes Syarikat Pelaburan Petroleum Antarabangsa (IPIC) yang ditujukan kepada Peguam Negara ketika itu, Tan Sri Tommy Thomas. Dokumen itu didakwa tertulis pengesyoran enam daripada pertuduhan rasuah terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak dan bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Mohd Irwan Serigar Abdullah digugurkan.
#PrezCom