
Kuala Lumpur, 05 September 2023, 07:20 pagi.
Nasib pelakon veteran di Malaysia amat menyedihkan apabila hanya menerima tawaran sekitar RM150 hingga RM200 sahaja untuk drama bersiri atau telefilem. Terdapat segelintir penerbit yang hanya mahu membayar semurah jumlah itu kepada pelakon veteran seolah-olah mereka tiada nilai lagi di dalam seni perfileman tanah air. Namun itulah yang berlaku di dalam seni hiburan di Malaysia. Semakin berusia para pelakon semakin berkurangan bayarannya. Seperti mahu ditolak ke tepi langsung daripada dunia perfileman dan hiburan.
Pemenang Artis Komedi Wanita Popular, Anugerah Bintang Popular BH lima tahun berturut-turut dari 1992 hingga 1997, Wan Maimunah, 65, berkata, “Cuma, rasa sedih itu membuat hati saya sebak mengenangkan RM200 saja ditawarkan untuk berlakon telefilem. Jumlah babak (perlu dilakonkan) mesti banyak dan sudah tentu memenatkan. Tak mengapalah. Memang bukan rezeki saya,” katanya kepada Harian Metro.
Menurut Wan Maimunah lagi, isu bayaran rendah kepada pelakon veteran sebenarnya sering diluahkan pelakon lain namun tiada jalan penyelesaian sehingga kini. “Saya tidak merajuk dan masih sayangkan kerjaya lakonan ini kerana sudah sebati dengan diri. Tapi, bila fikirkan bayaran tidak setimpal dan amat rendah, lebih baiklah saya duduk di rumah dan berehat. Rezeki Allah SWT itu luas dan ada di mana-mana.” Walaubagaimanapun, beliau tidak menganggap dirinya pelakon Gred A dan gelaran itu diberikan orang lain kepadanya.
Wan Maimunah berkata, disebabkan diskriminasi bayaran dilalui itu, dia lebih sanggup menerima tawaran daripada syarikat produksi baharu untuk berlakon filem pendek berikutan bayaran ditawarkan jauh lebih baik berbanding bekerjasama dengan syarikat produksi lama. “Saya tetap yakin Allah SWT selalu bersama hamba-Nya yang tidak putus berdoa. Setakat ini, saya masih mampu menguruskan makan minum. Malah kalau keluar makan di luar, akan ada orang tidak dikenali membayarnya. “Saya ucapkan terima kasih kepada mereka yang baik hati itu dan mendoakan mereka terus dimurahkan rezeki. Sesungguhnya, Allah SWT membantu kita dalam banyak cara yang tidak diduga,” katanya.
Seorang lagi pelakon serba-boleh, Jalil Hamid, 66, pula pernah ditawarkan sebanyak RM150 saja untuk berlakon satu episod drama. Jalil berkata, dia pernah mempertikaikan mengenai perbezaan bayaran pelakon veteran yang lebih rendah berbanding bayaran diterima pelakon muda.
“Ia masih terngiang-ngiang dalam telinga saya sehingga kini. Saya ke set penggambaran pada hari pertama namun saya tak dapat teruskan kerja kerana saya merasakan ia satu penghinaan kepada saya,” katanya. “Banyak kali saya keluarkan kenyataan begini namun masyarakat menganggap saya mahu mencari populariti murahan,” katanya lagi.
“Orang tua pun perlu makan dan minum. Bidang lakonan ini tak ada ‘pencen’. Tak ada had umur,” katanya yang mengakui berkecil hati dengan beberapa syarikat produksi yang meletakkan harga terlalu rendah.
Pelakon, Datin Fadilah Mansor, 65, yang memaklumkan sudah kurang ditawarkan peluang berlakon. Fadilah berkata, dia sendiri bingung memikirkan sudah lama tiada tawaran berlakon daripada mana-mana syarikat produksi. “Tak tahulah kenapa. Bukan saya sahaja malah kawan-kawan lain turut menerima nasib sama. Saya pun tak tahu puncanya. Dalam tahun ini, baru satu tawaran berlakon diterima. Ada juga dengar syarikat produksi buat penggambaran tetapi hanya membabitkan pelakon muda saja. Yang tua-tua ini dipinggirkan. Mata pencarian pada lakonan tergugat jugalah.”
“Ada juga yang panggil tapi bila tahu kita tiada tawaran berlakon, ditawarkan kita kadar bayaran murah. Saya tak sanggup nak sebut harganya tetapi bagi saya memang tidak masuk akal. Saya tak boleh nak ambil (bayaran murah ditawarkan) kerana ia akan merosakkan mata pencarian pelakon lain. Saya jadi serba salah.” Menurut beliau lagi.
Penerbit, Datuk Ayu Puteh mengakui sering mendengar rungutan golongan pelakon veteran yang tiada pekerjaan atau tidak menerima tawaran untuk berlakon. “Walaupun mungkin tiada pilihan, mereka (penerbit) bayar dengan harga yang mereka mampu berikan. Namun bukan semua artis veteran ini dibayar murah. Saya lihat ada pelakon veteran yang dibayar mahal sesuai dengan kredibiliti mereka.
Memandangkan artis–artis veteran ini tidak mempunyai tawaran berlakon maka ada penerbit filem yang cuba untuk menolong walaupun khidmat artis-artis veteran itu tidak diperlukan untuk filem tersebut. Oleh itu daripada segi bayaran penerbit hanya akan membayar sekadar yang mampu sahaja. Walau bagaimana pun Ayu Puteh tidak bersetuju dengan bayaran yang begitu murah kepada pelakon berbakat besar seperti Wan Maimunah dan artis-artis veteran lain yang mempunyai kemampuan lakonan yang luar biasa dan hebat.
Sementara itu, pengarah dan penerbit Rashid Sibir, 56, berkata, golongan penerbit filem atau drama tidak sepatutnya merendahkan golongan artis veteran yang memiliki bakat besar. “Tanpa pelakon veteran, tiadalah pelakon baru. Jika diberikan bayaran rendah maka kita tak hormati mereka, tiada perikemanusiaan dan memalukan industri. Kalau di luar, artis lebih veteran diberikan bayaran lebih tinggi. Kita patut naikkan harga mereka bukan menjatuhkan mereka. Saya kasihan dengan nasib artis veteran. Kalau boleh, bayaran mereka kena setimpal dengan nama, tahun pembabitan dan pencapaian diperoleh,” katanya. Rashid memberitahu, dia memainkan peranan sebaiknya apabila memastikan setiap drama dihasilkan turut menyelitkan artis veteran.
Persoalannya di sini mengapa bakat dan pengalaman artis veteran tidak dipandang tinggi lagi oleh para produser filem atau drama? Apakah mereka itu sudah nyanyuk atau sudah tidak mempunyai peminat lagi sehingga mereka begitu dipandang rendah?
Kredit Gambar: Yayasan Artis Veteran
#PrezCom