
Kuala Lumpur, 4 September 2023, 10.40 malam.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, semua sekolah dijamin mempunyai prasarana asas seperti bumbung dan tandas yang baik di mana ia lebih baik daripada membina mercu tanda yang hebat. Semua sekolah di negara ini termasuk Sekolah Kebangsaan selain Sekolah Jenis Kebangsaan dan Sekolah Agama Bantuan Kerajaan bakal dilengkapi prasarana asas munasabah pada Oktober ini.
“Ini adalah jauh lebih bermakna kepada ibu bapa berbanding mercu tanda gagah dan gedung-gedung hebat,” katanya pada Majlis Amanat Perdana Hari Kebangsaan di Dewan Plenari, Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada 30 Ogos 2023 yang lepas.
Menurut beliau lagi, “Sebelum akhir bulan Oktober, semua sekolah di negara ini iaitu Sekolah Kebangsaan, Sekolah Kebangsaan Jenis Cina, Sekolah Kebangsaan Jenis Tamil dan Sekolah Agama Bantuan Kerajaan, kita jamin punyai prasarana asas dengan bumbung, tandas dan sebagainya.”
Terdahulu, seramai 6,000 rakyat Malaysia terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat turut hadir bagi menzahirkan semangat patriotisme dan nasionalisme dalam menyemarakkan rasa kekitaan, kebersamaan dan memperkasakan semangat perpaduan.
Perdana Menteri berkata lagi, “Negara ini tidak seharusnya dikenali dengan mercu tanda atau bangunan tinggi dan besar tapi, sebaliknya layanan adil kepada rakyat. Malaysia harus terkenal dengan jaminan keadilan bagi semua rakyat, termasuk yang tersisih dan terpinggir.”
#PrezCom