Kuala Lumpur, 1 September 2023, 02.30 petang. Sepanjang kempen bermula selepas penamaan calon Sabtu lalu, belum ada kelibat kepimpinan tertinggi DAP seperti Setiausaha Agungnya, Anthony Loke Siew Fook hadir ke Simpang Jeram bagi membantu Nazri. Ia berkemungkinan salah satu strategi gabungan PAKATAN HARAPAN (PH) – BARISAN NASIONAL (BN) untuk meminimumkan serangan parti PERIKATAN NASIONAL dan PAS menggunakan ‘peluru DAP’ terhadap Amanah, yang sering dilabel sebagai ‘proksi’ parti berkenaan.

Walaupun pembongkaran itu turut membabitkan UMNO yang kini sebahagian Kerajaan Perpaduan, Amanah wajib menjernihkan keadaan bagi mempertahan kerusi disandang Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub selama dua penggal. Amanah kekal dibayangi wajah DAP dalam pemikiran dan persepsi kepemimpinan PAS, meskipun pola politik Malaysia sudah berputar selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

DAP sebagai salah sebuah parti komponen PH boleh dinobatkan sebagai parti paling popular sepanjang lima hari tempoh berkempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram. Mana tidaknya, meskipun parti itu tidak bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) berkenaan, kisah dan pendedahan berhubung DAP konsisten dimainkan Perikatan Nasional (PN) dalam setiap kempen ceramah mereka. Begitu juga dengan PH dan BN, nama DAP juga kerap disebut-sebut bagi mematahkan hujah lawan walaupun calon Parti AMANAH NEGARA (Amanah), Ir. Nazri Abdul Rahman yang dipertaruhkan di situ.

Dalam perspektif yang lain, Amanah dilihat berdepan kegetiran dalam menangkis perkara itu sehingga memaksa Presidennya, Datuk Seri Mohamad Sabu sendiri turun memperjelas situasi sebenar.

Mohamad Sabu ketika berucap pada Ceramah Kelompok DUN Simpang Jeram di Taman Sri Kasih, malam Isnin lalu menyatakan, sebab sebenar Pas memutuskan kerjasama dalam PR sebelum PRU14 adalah kerana bercita-cita untuk membentuk kerjasama dengan UMNO yang ketika itu merupakan Kerajaan Persekutuan. Ini menunjukkan pertembungan PAS dengan Amanah yang juga parti serpihannya tidak akan sunyi dengan laungan ‘DAP’, walaupun apa yang pernah berlaku hanyalah sejarah silam buat ketiga-tiga pihak semasa bersama dalam Barisan Alternatif (BA) dan Pakatan Rakyat (PR).

DAP tidak perlu bersuara kuat lagi, hanya sekali-sekala sudah cukup. Hal ini demikian kerana, mereka berjaya melantik jurubicara daripada kalangan Melayu yang lupa akan kemelayuannya dan lalai akan keislamannya, malah menganggap Melayu sangat rasis apabila bersuara membela Melayunya atau Islamnya fanatik jika bercakap mengenai Islam.

Seterusnya, disambung pula oleh media seperti Malaysiakini dan rangkaiannya bagi promosi yang makro dan mikro. DAP ialah parti terbesar dalam Pakatan Harapan (PH), bukanlah sebuah parti yang buta politik, ekonomi, masyarakat, dan media. Dominasinya dalam kalangan kaum Cina ternyata bersifat ekstrem, cauvinis, sekular, dan membawa agenda ‘Malaysian Malaysia’ sebagaimana yang dimaktubkan dalam perlembagaannya yang tetap tidak berubah.

#PrezCom