
Kuala Lumpur, 1 September 2023, 02.21 malam. Pengerusi Eksekutif Yayasan Pembangunan Pondok Malaysia (YPPM), Datuk Dr. Mashitah Ibrahim berkata, nasib guru-guru al-Quran tidak terbela selari dengan peredaran zaman pada masa ini. Masyarakat di negara ini didakwa terlalu mengambil mudah akan kadar bayaran upah guru-guru Al-Quran yang mengajar anak-anak kariah di kampung-kampung sehingga mereka menerima jumlah yang disifatkan tidak berbaloi dengan perkembangan ekonomi semasa.
Lebih kurang 80 peratus waris yang menghantar anak-anak mereka untuk belajar membaca kitab suci itu tidak membayar sebarang upah ‘ihsan’ tersebut, selain ada yang cuma memberi sekampit gula sahaja. Ini kerana rata-rata mereka tidak sampai hati untuk meletakkan sebarang kadar bayaran dalam menjalankan kewajipan fardu kifayah itu.
Oleh itu, ramai yang dilihat seperti mengambil kesempatan daripada keadaan mereka yang mengajar al-Quran di kampung-kampung terutamanya di bahagian utara tanah air dengan rata-ratanya memiliki jumlah murid antara 25 sehingga 30 orang. “Mereka yang mengajar al-Quran ini tidak boleh nak tolak sebab cintakan agama, jadi kerja baik itu tetap diteruskan.” Katanya.
Sebelum ini, Mashitah yang juga bekas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) mendedahkan, masih ada guru-guru al-Quran menerima kadar upah berjumlah RM10, tetapi masih terus mengajar walaupun hidup dalam kemiskinan. Kata beliau lagi.
Disebabkan guru-guru al-Quran ini tidak bertanya tentang upah dan tidak meletakkan sebarang bayaran, maka ia dianggap sukarela dan hanya memberi ikut suka hati ataupun tidak memberi langsung dan menganggap upah guru mengajar al-Quran hanya sebagai sedekah. Sebagai ibu bapa kepada anak-anak yang belajar al-Quran, mengapa tidak memikirkan akan pekara lain yang diperlukan oleh guru-guru tersebut? Adakah berbaloi dengan hanya sekampit gula atau dengan hanya bayaran RM10 sebulan untuk ilmu, tenaga dan suara yang digunakan oleh guru-guru tersebut? Tidak pernahkah timbul rasa kasihan kepada mereka?
“Sebab itu lah guru-guru al-Quran ini boleh dikatakan hero yang tidak didendang (unsung hero) sebab mereka ini buat kerja betul-betul fisabilillah. Kalau tidak mengajar, budak-budak tidak dapat baca al-Quran,” katanya pada akhbar Utusan pada 11 April 2023 di Petaling Jaya.
Menurut Mashitah lagi, “Sebab jika ada orang hantar anak mereka, mereka tidak pernah tanya berapa (perlu dibayar), jika ditanya pun guru al-Quran itu akan jawab terpulang. Tetapi, apabila guru al-Quran letak kadar bayaran, masyarakat pula bising. Maka benda itu diambil mudah, sedangkan ada yang sanggup bayar kelas tambahan, kelas piano, kelas karate.”
Pada masa yang sama, beliau berharap, pendedahan ini dapat membuka mentaliti lebih ramai pihak bahawa guru al-Quran itu menyumbang bukan sahaja kepada agama, tetapi tumbesaran anak-anak juga. Daripada apa yang dijelaskan oleh Datuk Dr. Mashitah Ibrahim ini, hendaklah kita semua memikirkan apa yang perlu untuk orang lain dan apa yang terbaik untuk semua pihak. Di dalam mana-mana agama pun kita dituntut untuk berlaku adil dengan tidak memikirkan hal diri sendiri sahaja. Berkongsi rezeki dengan orang lain adalah lebih mulia. Kita perlu memikirkan bahawa di dalam rezeki kita terdapat rezeki orang lain juga. Itu adalah satu konsep perkongsian yang adil.
#PrezCom