Kuala Lumpur, 30 Ogos 2023, 2.20 petang. Invest Selangor Berhad menganjurkan Pameran Penerbangan Udara Selangor (SAS) 2023 buat kali ketiga yang akan diadakan pada 7 hingga 9 September 2023. Pertunjukan ini akan berlangsung di tempat yang sama iaitu Skypark RAC Bukit Jelutong di Shah Alam, Selangor. Ketua Pegawai Eksekutif Invest Selangor Berhad, Dato’ Hasan Azhari Idris, menjangkakan pertunjukan udara kali ini akan menarik pengujung seramai 20,000 orang. Pertunjukan udara siri 2023 ini diberi tema “Satu-satunya Pertunjukan Dan Perniagaan Penerbangan di Rantau Ini” dijangka juga akan mendapat sambutan luar biasa sepertimana edisi pertunjukan yang lalu sehingga mereka terpaksa menutup pendaftaran berikutan ruang lokasi yang agak terhad.

Dato’ Hasan Azhari Idris memaklumkan lagi bahawa SAS akan menempatkan 41 pameran pesawat statik dan disertai 117 pempamer dari enam negara iaitu Amerika Syarikat, Perancis, Denmark, Singapura, Australia dan Hong Kong. Beliau berharap penganjuran acara ini akan terus menarik lebih banyak penyertaan daripada syarikat antarabangsa dan tempatan bagi mengembangkan lagi industri aeroangkasa. Tambah beliau lagi, Pameran Udara Selangor (SAS) 2023 yang dijadual berlangsung mulai pada tarikh yang ditetapkan itu akan meraih potensi nilai transaksi berjumlah RM700 juta. Pada edisi kedua iaitu pada tahun 2022, program ini mencatat potensi nilai transaksi berjumlah RM1.174 bilion.

Berbeza dengan edisi lalu, Dato’ Hasan Azhari Idris berkata beberapa aktiviti baharu bakal diperkenal antaranya sukan udara dron dan karnival kerjaya melibatkan 20 syarikat penerbangan. Dato’ Hasan juga meminta kepada para pengunjung untuk meletak kenderaan di Stadium Shah Alam dan menggunakan bas perantara yang disediakan. Ini dilakukan untuk mengelak daripada kesesakan jalan raya serta kekurangan tempat letak kereta akibat daripada meletakkan kenderaan tidak mengikut peraturan dan susunan yang betul.

Mula dianjur sejak 2021, SAS menjadi landasan Kerajaan Negeri yang menggalakan pertumbuhan sektor aeroangkasa selain membantu syarikat tempatan serta usahawan industri kecil dan sederhana meneroka bidang itu. Pempamer merupakan syarikat terkemuka dalam industri penerbangan. Ada yang sediakan khidmat penerbangan komersial, pengangkutan udara, penyelenggara pesawat atau membekal komponen dan struktur pesawat. “Pada hari berkenaan syarikat juga menawarkan khidmat nasihat untuk menjalani temu duga termasuk latihan berkomunikasi, persediaan menjawab serta penampilan,” katanya memaklumkan 40 aset akan dipamerkan termasuk pesawat peribadi dan sukan. Menurut Dato’ Hasan lagi.

Pada Mac, bekas EXCO Pelaburan Selangor Dato’ Teng Chang Khim menyasarkan potensi pelaburan sebanyak RM2 bilion dapat dicapai pada edisi kali ini. Penganjuran tahun lalu yang berlangsung 8 hingga 10 September mencatat potensi nilai transaksi sebanyak RM1.174 bilion manakala SAS 2021 yang julung kali diadakan merekodkan transaksi RM100 juta.

#PrezCom