
Kuching, 3 Ogos 2023. 07:47. ASEAN International Film Festival & Awards (AIFFA) membuka tirai tahun ini dengan penglibatan dari 10 buah negara rantau ASEAN. Acara gilang gemilang dengan kehadiran penggiat filem dari serata Asean yang berkampung di Kuching, Sarawak selama tiga hari bermula 2 hingga 4 Ogos ini bersama-sama meraikannya disamping merancakkan lagi sambutan yang dianjurkan dua tahun sekali ini.
Pengarah Festival AIFFA, Livan Tajang dalam ucapannya melahirkan rasa teruja dengan kecemerlangan dan peningkatan kesemua filem yang disenarai pendek. Keupayaan filem-filem ini mampu meneroka tema dengan nuansa dan keaslian dalam penghasilan sesuatu karya yang berkualiti.
“Kami sangat berbangga dengan penganjuran AIFFA di Sarawak sekali lagi kali ini. Keindahan dan kekayaan budayanya menjadikan lokasi edisi keenam acara ini cukup sempurna,” katanya.
Pembukaan festival ini dirasmikan oleh Menteri di Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah. Beliau turut mengalu-alukan lebih banyak penglibatan penyertaan dari seluruh negara-negara Asean dan penggiat profesional dalam industri perfileman.
Datuk Seri Abdul Karim Rahman juga berkata, katanya; “Kali terakhir kami mengalu-alukan delegasi filem adalah pada 2019, dan saya difahamkan acara ini mempunyai bilangan peserta yang paling ramai berbanding empat sebelum ini. Semasa pandemik, apabila kita semua terpaksa duduk di rumah, Industri Kreatif memainkan peranan yang begitu besar dalam kehidupan kita, menghiburkan kita, melalui filem, rancangan langsung yang dilakukan dalam talian, tik tok, Facebook dan pelbagai aplikasi lain.”
Sebanyak 300 delegasi dari ASEAN menghadiri acara Asean International Film Festival & Awards (AIIFA) yang berlangsung di Old Courthouse Courtyard Kuching, Sarawak malam tadi. Pada acara pembukaan itu, turut diumumkan calon-calon bagi kategori Filem Terbaik, Pengarah Terbaik, Pelakon Lelaki Terbaik, Pelakon Wanita Terbaik, Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik, Pelakon Pembantu Wanita Terbaik, Pengarah Sinematografi Terbaik, Suntingan Filem Terbaik dan Lakon Layar Terbaik.
AIFFA kali ini mendapat penyertaan sebanyak 120 filem dan 34 daripadanya dari Malaysia. Semua filem ini dihasilkan dari tahun 2020 hingga 2022. Majlis malam gala AIFFA akan berlangsung esok di mana akan menobatkan pemenang bagi Anugerah Filem Terbaik berprestij, Anugerah Inspirasi ASEAN dan Pencapaian Sepanjang Hayat.
Turut hadir pada malam itu nanti, ikon K-Pop dan bintang filem, Rain dari Korea Selatan yang juga bakal memeriahkan acara itu selain bertemu peminat di sini.
#PrezCom