
Kuala Lumpur, 3 Ogos 2023 02.00pm. Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC) mengekluarkan kenyataan media dan merakamkan penghargaan kepada warga pentadbiran tanah di seluruh Malaysia bersempena dengan Sambutan Hari Tanah Negara Ke-7 Tahun 2023 (HTN 2023). Hari Tanah Negara kembali diraikan bagi menghargai sumbangan warga pentadbiran tanah dalam memastikan pentadbiran tanah serta undang-undang berkaitan pemilikan dan pentadbiran tahan sentiasa relevan dan selari dengan pembangunan negara.
Hari Tanah Negara (HTN) disambut pada tanggal 27 Julai setiap tahun bagi menghargai sumbangan warga pentadbiran tanah kepada pembangunan ekonomi dan infrastruktur fizikal negara. Tema yang dipilih sempena sambutan Hari Tanah Negara tahun 2023 ialah, “Pentadbiran Tanah Pemacu Kemakmuran Malaysia Madani”. Dalam membina masyarakat Malaysia Madani, aspek pentadbiran tanah memberi fokus kepadakeupayaan sistem dan tadbir urus yang baik. Cetusan pelaksanaan pentadbiran tanah secara elektronik menerusi perluasan sistem e-Tanah ke seluruh negara berjaya memberi impak kepada peningkatan penggunaan urusan atas talian. Proses kerja yang ditambah baik juga memberi kesan kepada kepantasan dalam memproses sesuatu urusan. Limpahan manfaat penggunaan sistem e-Tanah telah meningkatkan hasil kepada Kerajaan Negeri. Mengambil contoh pelaksanaan e-Tanah di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, kutipan hasil bagi tempoh lima tahun bermula dari 2018 hingga 2022 sahaja mencapai jumlah melebihi RM3bilion.
Pada tahun 2022, urusniaga hartanah menjana kira-kira 326,047 perserahan pindahmilik tanah di Pejabat-Pejabat Tanah seluruh negara (kecuali Sabah & Sarawak). Daripada jumlah tersebut, sebanyak 293,690 atau 90.08% perserahan pindah milik tanah telah berjaya didaftarkan dalam tempoh satu (1) hari. Pencapaian ini adalah hasil komitmen yang berterusan oleh warga pentadbiran tanah di peringkat negeri. Menurut YB Dato’ Sri Huang Tiong Sii, Timbalan Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, “amalan baik (best practices) berkaitan PMT 1 Hari telah mewujudkan tata kelola yang menyokong kepada pasaran harta tanah dan membantu pertumbuhan ekonomi negara”. Beliau menyampaikan ucapan tersebut dalam Majlis Perasmian Hari Tanah Negara Ke-7 Tahun 2023 di Hotel Marriot Putrajaya pada 2 Ogos 2023. Dalam majlis tersebut, beliau turut melancarkan buku “Hala Tuju Baharu Pengurusan Tanah Persekutuan 2021 – 2030 (HTPTP)” sebagai panduan kepada pemegang taruh dan pihak berkepentingan dalam aspek pengurusan tanah Persekutuan.
Buku HTPTP 2021-2030 merupakan dasar berhubung tata kelola yang mencakupi tiga teras iaitu perolehan, pengurusan dan pelupusan tanah Persekutuan. Ia memfokuskan kepada penambahbaikan tadbir urus yang antara lain merangkumi aspek perundangan, modal insan, kerjasama strategik, integriti, teknologi ICT serta peranan Pesuruhjaya Tanah Persekutuan (PTP). Bersempena sambutan Hari Tanah Negara tahun 2023, Persidangan Tanah Persekutuan akan diadakan pada 3 Ogos 2023 serta dirasmikan oleh YBhg. Tan Sri Dato’ Seri Mohd Zuki bin Ali, Ketua Setiausaha Negara. Persidangan tersebut dihadiri pegawai-pegawai kanan Kerajaan yang terlibat dengan projek pembangunan di peringkat Persekutuan termasuk Pengarah-Pengarah Tanah dan Galian Negeri. Persidangan ini memberi fokus kepada pengurusan tanah Persekutuan serta isu yang dihadapi semasa pelaksanaan projek pembangunan. NRECC berharap sambutan Hari Tanah Negara yang diadakan pada tahun ini dapat dijadikan cetusan kepada warga pentadbiran tanah untuk menguruskan tanah dengan lebih efisien. Perkara ini akan menjadi pemacu kepada kemakmuran ekonomi negara selaras dengan nilai teras Malaysia MADANI.
#PrezCom