
Sepang, 23 Julai 2023. 12:43pm. Kerajaan arah pembatalan serta-merta baki dua hari konsert Festival Good Vibes (GVF) 2023 di Litar Antarabangsa Sepang susulan kontroversi yang dicetuskan oleh vokalis kumpulan The 1975, Matty Healy apabila mencium pemain bas, Ross McDonalds yang juga seorang lelaki secara terbuka di pentas. Selain minum arak ketika membuat persembahan, bercium dengan kaum sejenisnya dipentas, Matty Healy juga membuat protes dan menghina undang-undang Malaysia berkaitan Lesbian, Gay, Biseksual dan Transgender (LGBT). Matty Healy yang marah atas pembatalan konsert itu turut bertindak menyepak kamera dan menghancurkan drone
Menteri Komunikasi dan Digital (KKD), Fahmi Fadzil telah mengeluarkan kenyataan media dan memberitahu KKD melalui JK-PUSPAL telah membuat laporan polis terhadap artis tersebut dan pihak penganjur atas kecuaian serta kegagalan mereka mematuhi syarat-syarat yang telah ditetapkan oleh PUSPAL. Di dalam kenyataan media yang sama Fahmi Fadzil juga menjelaskan bahawa ketika permohonan dibuat, pihak penganjur telah memberi jaminan akan bertanggungjawab sepenuhnya terhadap persembahan artis tersebut. Fahmi Fadzil berkata, “pendirian kerajaan perpaduan adalah jelas dan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang mencabar, memperlekeh serta melanggar undang-undang negara”
Susulan kenyataan media yang dikeluarkan oleh KKD, Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata pihak polis akan memangil pihak penganjur konsert kumpulan The 1975 cuma setakat ini tiada laporan polis diterima berhubung perkara itu.
Sementara itu Ketua Pemuda Perikatan Nasional Selangor yang juga Ketua Pemuda PAS Selangor, Ustaz Mohamed Sukri Omar mempersoalkan peranan Jawatankuasa Pusat Permohonan Penggambaran Filem dan Persembahan Artis Luar Negara (JK-PUSPAL) di bawah kendalian Menteri Komunikasi dan Digital yang boleh melepaskan kumpulan bermasalah seperti The 1975 untuk membuat konsert di Malaysia kerana ternyata kumpulan yang sama pernah membuat aksi jijik sebelum ini di Dubai. Selain mengecam keras aksi jijik yang ditampilkan oleh ahli kumpulan The 1975 Pemuda Perikatan Nasional Selangor juga menggesa KKD untuk memperhalusi dan mengkaji semula keberkesanan dan fungsi PUSPAL yang dilihat tidak berkesan sehingga negara Malaysia di hina dipentas secara terbuka.
#PrezCom