Kuala Lumpur, 12 Jun 2023, 09:20. Merujuk kepada kenyataan media oleh Jabatan Meterologi Malaysia (MET Malaysia) sebelum ini, Monsun Barad Daya (MBD) telah bermula pada 15 Mei lalu dan dijangka akan berlarutan sehingga September 2023.

Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) yang telah diberikan mandat sebagai penyelaras dengan kerjasama Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) serta Kerajaan Negeri akan memperkasa kesiapsiagaan didalam menangani impak fenomena cuaca panas dan kering semasa Monsun Barat Daya (MBD) ini. Antara inisiatif yang akan diperkukuhkan adalah penyelarasan dalam Operasi Pembenihan Awan (OPA).

Hari ini, OPA dilaksanakan di Pulau Pinang atas permohonan Kerajaan Negeri Pulau Pinang melalui penyelarasan antara NADMA, MET Malaysia dan Tentera Udara DiRaja Malaysia (TUDM). Operasi menyasarkan kawasan sekitar Empangan Teluk Bahang dan Empangan Air Itam, Pulau Pinang sebagai sebahagian daripada tindakan awal bagi mengatasi penyusutan air di empangan tersebut. Setakat 12 Jun 2023, di Empangan Air Itam peratus kapasiti air adalah sebanyak 48.6% dan di Empangan Teluk Bahang sebanyak 44.4%.

Kejayaan OPA ini bergantung kepada keadaan atmosfera yang sesuai seperti kelembapan yang tinggi, kehadiran awan kumulus dan kelajuan angin yang lemah. Faktor-faktor ini membolehkan penghasilan hujan yang tepat di kawasan sasaran. Pada 2 Mei sehingga 4 Mei 2023 yang lalu, operasi yang sama juga telah dijalankan di Pulau Pinang dan berjaya menghasilkan 100 peratus hujan di kawasan yang disasarkan. Ramalan kebarangkalian hujan untuk operasi kali ini adalah pada kadar sekitar 80 peratus berikutan kelembapan atmosfera agak rendah.

Bagi melaksanakan OPA pada hari ini, pesawat C-130 Hercules milik TUDM berlepas dari Pangkalan Udara TUDM Subang membawa empat tangki mengandungi campuran 800 kilogram garam dan 6,000 liter air yang disediakan pihak MET Malaysia. Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Armizan Mohd Ali berkata OPA yang dijalankan bukan hanya untuk tujuan tadahan air kembali ke paras normal tetapi juga sebagai pelan strategik untuk membantu sektor petanian yang terkesan

Datuk Armizan Mohd Ali juga berkata; “kerajaan negeri yang memerlukan bantuan bagi menjalankan operasi ini boleh mengemukakan syor kepada NADMA untuk dibuat penilaian. Kesesuaian lokasi dan ramalan keadaan atmosfera di kawasan cadangan perlu dikaji terlebih dahulu oleh MET Malaysia bagi menajmin kejayaan OPA.”

#PrezCom