
PUTRAJAYA, 25 Mei 2023 02:30pm. Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) cakna dengan isu yang dibangkitkan berhubung pengenalan dan penjualan ‘gula super’ atau ‘gula putih premium (bungkusan hijau)’ di pasaran.
Terdahulu, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Salahuddin Ayub telah mengeluarkan kenyataan bahawa gula super belum dikeluarkan dan dipasarkan di Malaysia. Salahuddin Ayub juga menambah katanya; ‘sebarang pengenalan gula baharu di pasaran perlu mendapat kelulusan daripada KPDN terlebih dahulu. Ini kerana gula adalah barang kawalan berjadual yang diperuntukkan di bawah Akta Kawalan Berkalan 1961.
KPDN juga telah mengeluarkan ‘Kenyataan Media’ berhubung isu ini dan menyatakan bahawa:
1. KPDN telah menerima permohonan daripada dua (2) syarikat pengeluar gula tempatan iaitu MSM Malaysia Holdings Berhad (MSM) dan Central Sugars Refinery Sdn Bhd (CSR) untuk mengeluarkan Gula Putih Bertapis Jernih di mana harganya tidak dikawal sebaliknya ditentukan oleh pasaran. Permohonan ini adalah sebahagian daripada pelan pemasaran syarikat-syarikat tersebut untuk terus kekal berdaya saing dan lestari.
2. Pihak kerajaan bersetuju dengan permohonan ini kerana Gula Putih Bertapis Jernih akan memberikan pilihan kepada pengguna selain gula putih bertapis sedia ada (kasar dan halus). Kerajaan juga telah memberi arahan kepada MSM dan CSR untuk terus mengeluarkan gula putih bertapis sedia ada (kasar dan halus) pada kuantiti semasa yang mencukupi untuk pasaran runcit pada harga yang dikawal oleh Kerajaan iaitu RM2.85 sekilogram (kasar) dan RM2.95 sekilogram (halus).
3. Kebenaran untuk penjualan Gula Putih Bertapis Jernih akan bermula pada 25 Mei 2023. KPDN sekali lagi menegaskan penjualan Gula Putih Bertapis Jernih ini tidak boleh menggantikan bekalan gula putih bertapis sedia ada (kasar dan halus). Syarikat-syarikat pengeluar gula boleh diambil tindakan jika tidak mengeluarkan bekalan gula putih bertapis sedia ada (kasar dan halus) yang mencukupi di pasaran. Begitu juga kepada mana-mana pemborong dan peruncit yang mengenakan pembelian bersyarat atau tidak menjual gula putih bertapis sedia ada (kasar dan halus) kepada pelanggannya.
KPDN mengambil kesempatan ini untuk mengajak pengguna Malaysia MADANI untuk mengawasi dan mengawal penggunaan gula demi kesihatan seperti yang disarankan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). KPDN juga mengajak pengguna untuk bersama-sama KPDN dalam memastikan bekalan gula di pasaran sentiasa mencukupi melalui maklumbalas dan laporan pasaran melalui salah satu saluran aduan rasmi Kementerian seperti berikut:
I. WhatsApp 019-279 4317 / 019-848 8000;
II. Portal e-Aduan KPDN iaitu http://e.aduan.kpdn.gov.my;
III. Call Centre 1-800-886-800;
IV. E-mel (e-aduan@kpdn.gov.my);
V. Aplikasi Telefon Pintar Ez ADU KPDN, dan;
VI. Bilik Gerakan Penguatkuasaan 03-88826088/6245
#PrezCom