
KUALA LUMPUR, 7 Sept 2026
Malaysia Airlines membatalkan 12 penerbangan antara Kuala Lumpur dan Jakarta hari ini susulan sebaran abu vulkanik daripada Gunung Anak Krakatau yang menjejaskan operasi Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta dan beberapa lapangan terbang lain di Indonesia.
Pembatalan melibatkan enam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Jakarta, iaitu MH713, MH711, MH717, MH721, MH723 dan MH725 serta enam penerbangan pulang, MH712, MH710, MH716, MH720, MH722 dan MH724.
Malaysia Airlines dalam notis rasminya berkata keadaan masih berkembang dan syarikat itu terus memantau perkembangan sebelum mengeluarkan kemas kini lanjut kepada penumpang yang terjejas.
Penumpang diminta memastikan maklumat hubungan dalam tempahan masing-masing dikemas kini melalui fungsi My Booking bagi membolehkan pemberitahuan mengenai penerbangan disampaikan melalui e-mel dan SMS.
Gangguan penerbangan di Indonesia menjadi semakin meluas sepanjang Ahad apabila Kementerian Perhubungan Indonesia mengumumkan penutupan sementara lapan lapangan terbang sehingga pukul 12 tengah malam waktu Indonesia Barat pada 6 September berdasarkan pemantauan sebaran abu vulkanik.
Lapangan terbang yang terlibat ialah Soekarno-Hatta di Tangerang, Halim Perdanakusuma di Jakarta, Radin Inten II di Lampung, Husein Sastranegara di Bandung, Budiarto Curug di Tangerang, Pondok Cabe di Tangerang Selatan, Taufik Kiemas di Pesisir Barat Lampung dan Atung Bungsu di Pagar Alam, Sumatera Selatan.
Menurut Menteri Perhubungan Indonesia, Dudy Purwagandhi, keputusan melanjutkan penutupan dibuat selepas maklumat cuaca menunjukkan arah pergerakan abu berubah, sekali gus memerlukan langkah keselamatan penerbangan dikekalkan.
Sehingga pukul 5.06 petang waktu Indonesia Barat, kementerian itu merekodkan 1,558 penerbangan tertunda dan kira-kira 170,000 penumpang terkandas di lapan lapangan terbang berkenaan.
Di Soekarno-Hatta sahaja, sebanyak 963 penerbangan terdiri daripada 453 ketibaan dan 510 pelepasan direkodkan terjejas berdasarkan pemantauan pada waktu berkenaan.
Sebelum itu, Kementerian Perhubungan Indonesia memaklumkan Soekarno-Hatta ditutup sementara antara pukul 1.23 tengah hari hingga 5.30 petang waktu Indonesia Barat melalui NOTAM A3348/26 berikutan sebaran abu Gunung Anak Krakatau. Penutupan itu kemudiannya dilanjutkan sehingga tengah malam selepas penilaian lanjut.
Walaupun gangguan penerbangan berterusan, Pusat Vulkanologi dan Mitigasi Bencana Geologi Indonesia (PVMBG) mengesahkan episod erupsi berterusan Anak Krakatau selama kira-kira 25 jam telah berakhir pada pukul 12.04 tengah malam Ahad.
Rekod instrumental menunjukkan episod itu bermula pada pukul 11.07 malam pada Jumaat, 4 September sebelum berhenti pada awal 6 September. Satu lagi erupsi jenis Strombolian berlaku pada pukul 3.53 pagi selama kira-kira 30 saat dan buat sementara waktu ditafsirkan sebagai penanda berakhirnya episod erupsi berterusan tersebut.
Namun, tahap aktiviti Anak Krakatau kekal pada Level III atau Siaga, manakala PVMBG meneruskan pemantauan terhadap aktiviti gunung berapi itu. Data pemantauan turut menunjukkan tenaga aktiviti vulkanik meningkat pada 5 September sebelum menunjukkan trend menurun pada 6 September.
Sebelum episod erupsi berterusan berakhir, pemantauan satelit Himawari dan Volcanic Ash Advisory Centre Darwin menunjukkan sebaran abu vulkanik mencapai kira-kira FL480 atau 14.6 kilometer dari paras laut dan bergerak dominan ke arah barat hingga barat daya.
Badan Geologi Indonesia mengekalkan larangan terhadap orang ramai, pelawat dan pendaki daripada memasuki kawasan dalam radius tiga kilometer dari pusat aktiviti Anak Krakatau. Mereka turut diminta berwaspada terhadap kemungkinan awan panas, aliran lava, lontaran batu pijar dan hujan abu lebat.
Badan itu turut menjelaskan struktur Anak Krakatau yang terbentuk semula selepas kejadian 22 Disember 2018 masih relatif kecil dan berdasarkan penilaian semasa tidak mempunyai potensi keruntuhan pada skala yang boleh mencetuskan tsunami. Bagaimanapun, perkembangan aktiviti dan perubahan morfologi gunung berapi itu terus dipantau secara intensif.
Gangguan ini mempunyai kesan langsung kepada perjalanan antara Malaysia dan Indonesia, khususnya penumpang yang menggunakan laluan Kuala Lumpur-Jakarta.
Malaysia Airlines menegaskan keselamatan penumpang dan kru kekal menjadi keutamaan, manakala penumpang yang mempunyai perjalanan ke atau dari Jakarta dinasihatkan menyemak status penerbangan masing-masing sebelum bergerak ke lapangan terbang.
#Prezcom