
KUALA LUMPUR, 2 Ogos 2026
Bank Negara Malaysia (BNM) berpandangan bahawa sistem penetapan gaji negara perlu dikaji semula selepas mendapati pertumbuhan upah pekerja masih tidak bergerak seiring dengan peningkatan produktiviti ekonomi.
Timbalan Gabenor BNM, Datuk Marzunisham Omar berkata, meskipun produktiviti terus meningkat, pelarasan gaji minimum masih belum memberi kesan yang menyeluruh kepada struktur gaji pada peringkat yang lebih tinggi. Keadaan itu menyebabkan berlaku pemampatan gaji apabila gaji permulaan bagi tenaga kerja berkelayakan profesional kekal hampir dengan paras gaji minimum.
Beliau berkata demikian ketika sesi plenari bertajuk The Future of Investment: Competing in a Fragmented World sempena Sasana Symposium 2026 anjuran BNM di Kuala Lumpur.
Menurut Marzunisham, Malaysia juga masih berdepan kekurangan pekerjaan berkemahiran tinggi apabila kira-kira 35 hingga 36 peratus tenaga kerja berkemahiran tinggi bekerja dalam jawatan yang memerlukan kelayakan lebih rendah daripada kelayakan sebenar mereka. Keadaan itu menunjukkan pasaran pekerjaan negara masih belum mampu menyerap sepenuhnya tenaga kerja berkemahiran tinggi.
Beliau berkata Malaysia perlu menarik lebih banyak pelaburan bernilai tinggi yang mampu mewujudkan pekerjaan berkemahiran tinggi, di samping memperkukuh pembangunan modal insan melalui Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), serta program peningkatan dan penyesuaian semula kemahiran pekerja.
BNM turut berpandangan bahawa pendekatan seperti living wage, progressive wage dan sistem gaji yang dikaitkan dengan produktiviti merupakan antara mekanisme yang boleh membantu memastikan peningkatan produktiviti diterjemahkan kepada pendapatan pekerja yang lebih baik.
Dalam sesi yang sama, Pengerusi Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz turut mengakui Malaysia berdepan isu pertumbuhan gaji dan menegaskan bahawa peningkatan upah perlu bergerak selari dengan pertumbuhan produktiviti serta kekayaan ekonomi negara.
Beliau berkata walaupun Malaysia menikmati kadar inflasi dan pengangguran yang rendah serta ekonomi berkembang sebanyak 5.8 peratus berdasarkan anggaran awal Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi suku kedua 2026, ramai rakyat masih belum merasai manfaat pertumbuhan tersebut melalui peningkatan pendapatan.
Perbincangan pada Sasana Symposium 2026 mencerminkan keperluan reformasi pasaran buruh yang lebih menyeluruh bagi memastikan pertumbuhan ekonomi negara dapat diterjemahkan kepada peluang pekerjaan yang lebih berkualiti dan pendapatan yang lebih mampan untuk rakyat.
#Prezcom