
KUALA LUMPUR, 23 Mei 2026
Penyertaan wanita Malaysia dalam pasaran buruh masih berada pada tahap 56.6 peratus, jauh di bawah potensi sebenar negara untuk memperkasakan tenaga kerja wanita sebagai pemacu ekonomi baharu. Situasi itu mendorong Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) memperhebat pelaksanaan Program MEKAR menerusi pendekatan latihan keusahawanan, literasi kewangan dan transformasi digital khusus untuk komuniti wanita bandar.
Usaha itu diteruskan melalui Program MEKAR: Bengkel Keusahawanan Makanan dan Digitalisasi Wanita Bandar yang berlangsung di Dewan Perdana Nur, Aras B1, Bangunan KPWKM pada Jumaat.
Program tersebut dianjurkan oleh Pejabat Pembangunan Wanita Wilayah Persekutuan dengan kerjasama pelbagai agensi kerajaan, badan berkanun, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan persatuan penduduk tempatan bagi memperkasakan komuniti melalui pembangunan ekonomi dan peningkatan kemahiran.
Program MEKAR atau Menyemai Kasih Rakyat merupakan inisiatif proaktif kerajaan untuk membantu komuniti meningkatkan kebolehpasaran dan penyertaan dalam sektor pekerjaan serta memperkukuhkan literasi kewangan dan teknologi, khususnya dalam bidang keusahawanan.
Sehingga kini, program itu telah dilaksanakan di Laman Wanita (LAWA) di tujuh negeri, manakala negeri yang tidak mempunyai pusat LAWA melaksanakan program berkenaan menerusi kerjasama strategik bersama agensi kerajaan dan NGO tempatan.

Berdasarkan data program, sebanyak 1,633 program MEKAR telah dilaksanakan di seluruh negara dengan 24,863 permohonan diproses selain lebih 20,000 individu menerima khidmat nasihat setakat 31 Julai lalu.
Majlis perasmian disempurnakan oleh YBrs. Encik Mohd Daud Mohd Arif, Timbalan Ketua Setiausaha (Strategik) KPWKM. Dalam ucapan perasmiannya, beliau berkata penglibatan wanita dalam pasaran buruh negara perlu terus dipertingkatkan bagi memastikan pembangunan ekonomi negara lebih inklusif dan mampan. “KPWKM mensasarkan kadar penyertaan wanita dalam tenaga buruh meningkat kepada 60 peratus menjelang tahun 2030,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa pembangunan kemahiran digital dan keusahawanan kini menjadi antara agenda penting kerajaan dalam membantu wanita meningkatkan pendapatan keluarga serta membina daya tahan ekonomi jangka panjang.
Antara tumpuan utama program kali ini ialah sesi bersama pakar inovasi industri dan perunding korporat, Coach Ts. Megat Zainurul Anuar Megat Johari menerusi slot Literasi Keusahawanan Digital bertemakan “From a Nice-to-Have to a Game-Changer”.
Dalam sesi tersebut, beliau berkongsi perubahan landskap teknologi dalam industri berat termasuk sektor automotif berdasarkan pengalaman bimbingan bersama pemain industri tersebut.
Menurut beliau, penggunaan teknologi pada hari ini bukan lagi sekadar tertumpu kepada proses “assembly line”, sebaliknya keberkesanan teknologi perlu diterjemahkan kepada pengalaman pengguna menerusi produk dan perkhidmatan yang lebih baik, lebih selamat serta memberi impak tinggi kepada pelanggan.

Coach Ts. Megat turut menekankan bahawa kadar adaptasi teknologi dalam kalangan usahawan kini bukan lagi pilihan tambahan, tetapi satu keperluan kritikal untuk kekal relevan dalam pasaran yang semakin kompetitif.
Beliau berkata usahawan yang mahu membangunkan model perniagaan mampan dan berdaya saing perlu memperkasakan teknologi sekurang-kurangnya dalam lima aspek utama perniagaan iaitu segmen pelanggan, saluran pemasaran, cadangan nilai, struktur kos dan penjanaan hasil.
Menurutnya, lima elemen tersebut memberi kesan langsung terhadap aliran pendapatan serta keupayaan sesebuah perniagaan untuk berkembang dalam era ekonomi digital.
Penekanan terhadap digitalisasi dalam program seperti MEKAR dilihat selari dengan perubahan corak pengguna dan trend ekonomi semasa yang semakin bergantung kepada platform digital, automasi serta data pelanggan.
Bagi ramai usahawan mikro dan kecil, khususnya wanita bandar yang baru memulakan perniagaan makanan, cabaran utama bukan lagi sekadar menghasilkan produk berkualiti, tetapi bagaimana memasarkan produk secara digital, memahami pelanggan dan membina model perniagaan yang lebih efisien.
Penganjuran program berterusan seperti MEKAR dijangka memainkan peranan penting dalam membantu lebih ramai wanita meningkatkan pendapatan, membina keyakinan diri serta memperluaskan peluang ekonomi melalui teknologi dan keusahawanan moden.
#Prezcom