Gambar Hiasan

KUALA LUMPUR, 8 Mei 2026

Kerajaan Persekutuan kini memperhebat usaha menangani isu rumah ibadat tidak berdaftar di seluruh negara apabila Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan Kementerian Perpaduan Negara menyelaras rundingan nasional melibatkan pelbagai kementerian dan agensi berkaitan. Arahan itu diputuskan dalam mesyuarat Jemaah Menteri minggu ini susulan kebimbangan berterusan terhadap kewujudan struktur rumah ibadat yang dibina tanpa kelulusan sah, khususnya di atas tanah kerajaan dan kawasan pembangunan awam.

Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil berkata, kerajaan mahu mencari pendekatan penyelesaian yang lebih tersusun bagi mengelakkan isu berkenaan terus menjadi polemik sensitif melibatkan agama, undang-undang tanah dan hubungan masyarakat pelbagai kaum. Menurut beliau, antara kementerian dan agensi yang akan terlibat dalam rundingan tersebut ialah Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Kementerian Dalam Negeri serta Jabatan Wilayah Persekutuan. “Jemaah Menteri telah membincangkan isu rumah ibadat tidak berdaftar dan Perdana Menteri mengarahkan Kementerian Perpaduan Negara untuk menyelaras perbincangan lanjut bagi mengurus serta menyelesaikan perkara ini,” katanya selepas mesyuarat Kabinet.

Langkah terbaru itu dilihat sebagai sebahagian usaha kerajaan menyeimbangkan penguatkuasaan undang-undang dengan sensitiviti masyarakat majmuk Malaysia yang sering menjadikan isu rumah ibadat sebagai perkara sensitif dari sudut politik dan sosial. Pada Februari lalu, Anwar menegaskan bahawa tiada rumah ibadat tidak berdaftar akan dibenarkan dibina tanpa kelulusan sah dan pihak berkuasa tempatan mempunyai hak untuk merobohkan struktur yang melanggar peraturan.

Kenyataan tegas itu dibuat ketika beberapa isu berkaitan pembinaan rumah ibadat di tanah kerajaan mula mendapat perhatian umum dan mencetuskan perdebatan dalam kalangan masyarakat serta pemimpin politik. Perkembangan tersebut menjadi lebih ketara pada April lalu apabila kerajaan Persekutuan membekukan semua aktiviti pembinaan dan pembesaran melibatkan 163 rumah ibadat bukan Islam tidak berdaftar yang dikenal pasti di atas tanah awam di Kuala Lumpur.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh kemudiannya mengumumkan penubuhan 11 jawatankuasa kecil diketuai ahli Parlimen bagi menjalankan rundingan bersama pemimpin agama dan pihak berkepentingan untuk mencari penyelesaian secara berperingkat.
Pendekatan itu dianggap berbeza berbanding tindakan penguatkuasaan agresif sebelum ini kerana kerajaan cuba mengelakkan ketegangan kaum dan agama dengan memberi ruang perundingan serta penyelesaian secara pentadbiran.

Pada masa sama, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan turut sedang memperhalusi garis panduan pengurusan rumah ibadat bukan Islam bagi memastikan proses kelulusan, pemantauan dan penggunaan tanah dapat diselaraskan secara lebih sistematik di seluruh negara. Isu rumah ibadat tidak berdaftar bukan perkara baharu di Malaysia. Banyak struktur lama dibina beberapa dekad lalu ketika proses pembangunan bandar dan dokumentasi tanah belum diselaraskan sepenuhnya. Sebahagiannya wujud hasil persetujuan komuniti setempat, namun tidak pernah memperoleh kelulusan rasmi daripada pihak berkuasa tempatan.

Penganalisis melihat langkah kerajaan kali ini penting kerana kegagalan menyelesaikan isu tersebut boleh mencetuskan konflik sosial dan pertikaian undang-undang yang berpanjangan, terutama di kawasan bandar padat seperti Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan Selangor.

Selain implikasi sosial, isu ini turut memberi kesan kepada perancangan bandar, pembangunan infrastruktur dan pengurusan tanah kerajaan. Sebarang tindakan perobohan tanpa rundingan juga berpotensi mencetuskan reaksi politik serta menjejaskan persepsi terhadap kestabilan hubungan antara agama di negara ini.
Kerajaan dijangka mengadakan beberapa siri rundingan dalam tempoh terdekat sebelum sebarang keputusan dasar baharu diumumkan di peringkat nasional.

#Prezcom