
SERDANG, 16 Disember 2025
Majoriti usahawan makanan dan minuman (F&B) kecil di Malaysia didapati berdepan masalah serius untuk mengembangkan perniagaan walaupun sudah mempunyai jualan tetap, berikutan kekangan kapasiti pengeluaran, kualiti produk tidak konsisten serta kekurangan pemahaman terhadap model pengeluaran OEM. Perkara ini didedahkan menerusi program ‘Dari Kitchen ke Kilang’ yang berlangsung di MARDI Central Kitchen, MARDI Serdang, dengan penyertaan peserta jauh melebihi jangkaan penganjur.

Kronologi Program dan Profil Peserta
Program ‘Dari Kitchen ke Kilang’ menghimpunkan pelbagai latar belakang peserta termasuk pengasas perniagaan, rakan kongsi, pesara serta individu yang baru merancang untuk menceburi industri F&B. Peserta terdiri daripada pemilik kafe, pengusaha makanan sejuk beku, pengeluar pes dan ready meal, penyedia katering serta usahawan yang masih beroperasi secara kecil-kecilan.
Majoriti peserta yang hadii menjalankan perniagaan dari dapur rumah dan dapur sewa, manakala sebahagian lagi masih berada pada fasa idea dan persediaan awal. Dari segi pendapatan, kebanyakan peserta mencatat hasil sekitar RM2,000 hingga RM5,000 sebulan, namun terdapat juga usahawan yang telah mencapai pendapatan sekitar RM10,000 sebulan. Rata-rata peserta mempunyai pengalaman perniagaan kurang daripada lima tahun dan menggaji tidak lebih daripada tiga orang pekerja.
Walaupun berbeza tahap ketersediaan perniagaan, kebanyakan peserta berkongsi cabaran yang hampir sama. Antaranya termasuk kualiti produk yang tidak konsisten, ketiadaan kapasiti untuk meningkatkan pengeluaran, jangka hayat produk yang singkat, isu kawalan kos, serta ketiadaan pensijilan seperti Halal, MeSTI dan GMP. Sebahagian peserta juga didapati masih belum mempunyai produk yang benar-benar bersedia untuk dipasarkan secara komersial.

Usahawan Ada Jualan, Tetapi Sistem Lemah
Dari sudut pemasaran, peserta memanfaatkan pelbagai saluran jualan termasuk TikTok Shop, Shopee, Lazada, WhatsApp, Facebook, Instagram, kedai fizikal dan food truck. Kebanyakan mereka datang dari sekitar Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya, kawasan yang mempunyai permintaan tinggi terhadap produk F&B.
Namun demikian, pendedahan sepanjang program mendapati majoriti peserta masih tidak memahami konsep OEM, apatah lagi proses sebenar untuk menghasilkan dan memasarkan produk melalui model tersebut. Kekeliruan terhadap kos, kuantiti minimum pengeluaran serta standard industri menjadi faktor utama mengapa ramai usahawan kekal terperangkap pada skala kecil walaupun permintaan pasaran wujud.
Selain OEM, peserta turut mengenal pasti keperluan sokongan lain seperti pemasaran strategik, khidmat mentoring dan coaching, pendigitalan perniagaan serta penjenamaan semula termasuk pembungkusan produk yang lebih profesional.

Peranan MARDI, PPWWP dan Industri
Program bermula pada jam 11.30 pagi dengan ucapan alu-aluan daripada pihak penganjur, Allstar Synergy, En Zulhelmi Shaari diikuti ucapan pembukaan oleh Pengarah Pusat Pemindahan Teknologi dan Pembangunan Usahawan MARDI, Tuan Haji Abd Malik bin Othman. Beliau menekankan peranan MARDI sebagai pemudah cara dalam memindahkan teknologi serta membantu usahawan memahami keperluan industri sebenar.
Turut hadir memberikan sokongan ialah Pengarah Pejabat Pembangunan Wanita Wilayah Persekutuan (PPWWP), Cikpuan Mazni Aznan, yang turun padang memberi semangat kepada peserta program KIRANA Emas PPWWP, yang mewakili hampir 70 peratus daripada jumlah keseluruhan peserta.
Pada sesi utama, Pengarah Urusan Tajria Food & Beverages (FOODKITA), Datin Khairiah Khalid, menerangkan secara terperinci konsep OEM, manfaat kepada usahawan serta realiti industri pengeluaran makanan. Beliau turut mengumumkan tawaran program khas dengan kuantiti minimum pengeluaran yang rendah bagi membantu usahawan yang benar-benar bersedia untuk melangkah daripada dapur ke kilang.
Sesi seterusnya disampaikan oleh Ts. Megat Zainurul Anuar bin Megat Johari (Coach Megat) selaku pembimbing program yang menegaskan bahawa objektif utama ‘Dari Kitchen ke Kilang’ adalah untuk membuka mata usahawan tentang bagaimana perniagaan kecil boleh dikembangkan secara tersusun melalui model OEM. Beliau menasihatkan agar usahawan bermula dengan model perniagaan yang jelas, walaupun perniagaan dijalankan dari rumah, bagi mengelakkan kesilapan mahal apabila cuba menskalakan perniagaan.
Program ‘Dari Kitchen ke Kilang’ bukan sahaja mendedahkan konsep berniaga dengan berkonsepkan OEM tetapi juga memberikan pendedahan tentang kemudahan bantuan kewangan yang disediakan oleh pihak perbankan serta sesi khas Penjenamaan dan Pemasaran Era Ai yang dibawa oleh En. Muhammad Hamzan bin Morad. Program ‘Dari Kitchen ke Kilang’ walaupun mengambil masa hanya setengah hari namun telah benar-benar membuka mata peserta yang hadir untuk terus mengembangkan perniagaan mereka.
Program ini juga telah menerima sambutan luar biasa dengan kehadiran peserta melebihi jangkaan, sekali gus membuktikan keperluan mendesak terhadap pendedahan industri dan sokongan berstruktur untuk usahawan F&B kecil. Ramai peserta mencadangkan agar program seumpama ini dilaksanakan secara berkala supaya lebih ramai usahawan dapat dibimbing memahami proses penskalaan perniagaan secara selamat dan mampan.
Penganjuran program ini dilihat sebagai langkah penting dalam membantu usahawan tempatan keluar daripada perangkap operasi kecil dan membina perniagaan yang lebih bersedia, berdaya saing serta berpotensi untuk berkembang ke tahap industri.
#Prezcom