84 Peratus Rakyat Kini Nikmati RON95 Pada Harga RM1.99: Budi95 Berjaya Kurangkan Ketirisan, Jana Penjimatan RM5 Bilion. Kredit Imej: Jabatan Penerangan Malaysia

Kuala Lumpur 4 Disember 2025.

Kerajaan hari ini mengesahkan bahawa 13.9 juta rakyat, atau 84 peratus daripada 16.5 juta individu yang layak, telah menikmati harga RON95 pada kadar RM1.99 seliter melalui pelaksanaan subsidi bersasar Budi Madani RON95 (Budi95) sejak 30 September lalu. Dalam tempoh dua bulan, program tersebut merekodkan jualan RM5.16 bilion dengan penggunaan petrol sebanyak 2.59 bilion liter, perkembangan yang dianggap penting dalam usaha kerajaan mengurangkan ketirisan subsidi dan menstabilkan kedudukan fiskal negara.

Dewan Negara hari ini diberitahu bahawa program Budi95, yang memfokuskan pemberian subsidi RON95 kepada warganegara Malaysia sahaja, telah menunjukkan keberkesanan awal yang ketara dalam memulihkan ketirisan subsidi dan menyasarkan bantuan kepada golongan yang benar-benar layak. Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying, menyatakan bahawa seramai 13.9 juta pengguna telah mendapat manfaat terus daripada harga RM1.99 seliter, iaitu harga subsidi selepas pelaksanaan penyasaran.

Dalam jawapan kepada soalan Senator Dr Lingeshwaran R. Arunasalam, Hui Ying memaklumkan bahawa nilai jualan petrol melalui program itu mencapai RM5.16 bilion setakat 30 November, bersamaan penggunaan 2.59 bilion liter RON95. Angka ini menunjukkan skala penggunaan besar dalam kalangan rakyat Malaysia yang layak, dan pada masa yang sama, kadar ketirisan subsidi menurun secara signifikan selepas penghapusan subsidi kepada bukan warganegara serta pengguna komersial.

ANGGARAN PENJIMATAN RM2.5 BILION HINGGA RM4 BILION SETAHUN
Kerajaan menjangkakan penjimatan antara RM2.5 bilion hingga RM4 bilion setahun hasil pelaksanaan subsidi bersasar RON95. Jumlah ini bergantung sepenuhnya kepada harga minyak mentah dunia yang ketika ini berada dalam julat AS$60 hingga AS$80 setong.

Hui Ying menjelaskan bahawa penilaian penuh hanya dapat dibuat bermula tahun 2026 kerana Budi95 baru dilaksanakan pada penghujung September 2025. Tahun 2025 dianggap sebagai fasa penstabilan sistem, di mana kerajaan memantau prestasi mekanisme subsidi baharu bagi memastikan tiada gangguan atau isu teknikal dalam proses pemberian subsidi.

Beliau memaklumkan bahawa program Budi95 terus dipertingkatkan melalui pemantauan rapi, termasuk pengesanan awal sebarang ketidakpatuhan atau penyalahgunaan. Fokus kerajaan, katanya, adalah memastikan setiap liter subsidi sampai kepada pengguna yang layak, selaras dengan matlamat fiskal negara untuk mengurangkan pembaziran sumber kewangan.

KERJAAN PERLU RUANG BERNAFAS
Langkah penyasaran subsidi RON95 merupakan sebahagian daripada strategi besar kerajaan untuk memperkukuh kedudukan kewangan negara. Dalam beberapa tahun terakhir, subsidi bahan api menjadi antara perbelanjaan terbesar kerajaan dengan anggaran lebih RM30 bilion setahun, termasuk ketirisan yang dilakukan pihak tidak layak.

Menurut Hui Ying, penjimatan hasil penyasaran subsidi membolehkan kerajaan memiliki ruang fiskal tambahan yang boleh digunakan bagi program kesejahteraan rakyat, pembangunan infrastruktur serta pelaburan sektor penting seperti pendidikan dan kesihatan.

IMPAK SOSIAL DAN EKONOMI KEPADA RAKYAT

Program Budi95 dilihat membawa beberapa manfaat lansung kepada rakyat Malaysia, antaranya:

Program ini juga berperanan menggalakkan perubahan tingkah laku penggunaan bahan api secara lebih bertanggungjawab, memandangkan subsidi kini terarah kepada pengguna warganegara sahaja.

Pencapaian awal Budi95 membuktikan bahawa penyasaran subsidi bahan api mampu mengurangkan ketirisan berskala besar, menstabilkan aliran fiskal dan mengekalkan harga bahan api pada kadar mampu milik untuk golongan sasaran. Dengan 84 peratus rakyat layak sudah menikmati manfaatnya, kerajaan kini mempunyai asas kukuh untuk memperkukuh strategi subsidi bersasar dalam sektor lain. Penilaian penuh pada tahun 2026 dijangka memberikan gambaran setepatnya mengenai keberkesanan dan impak jangka panjang program ini terhadap ekonomi nasional.

#Prezcom