
Ditulis oleh: Ts. Coach Megat Zainurul Anuar bin Megat Johari**
“Jangan Salah Guna Perkataan Redha: 70% Transformasi Gagal Kerana Kita Sebenarnya Takut Berubah, Bukan Kerana Takdir”
Jika ada satu perkara yang saya lihat semakin ketara dalam dunia kerja hari ini terutamanya dalam dunia jualan – ialah kecenderungan untuk menyamakan zon selesa (confort zone) dengan redha, dan menyamakan kejatuhan prestasi dengan takdir. Saya tidak menolak takdir. Tetapi saya percaya satu perkara:
selagi kita masih mampu berusaha, selagi itu kita belum layak untuk pasrah.
Saya sering bertanya kepada ketua-ketua pasukan yang saya bimbing.
“Adakah kamu benar-benar redha, atau kamu sebenarnya sudah terlalu selesa dengan cara lama sehingga kamu berhenti mencuba?”
Hakikatnya, ramai pemimpin tidak sedar bahawa mereka sudah terperangkap dalam zon selesa yang dibina oleh diri mereka sendiri. Lebih menakutkan, mereka menyamakan rasa selesa itu dengan takdir. Sedangkan dalam psikologi manusia, zon selesa bukanlah satu ‘titik damai’, tetapi tanda awal kejatuhan prestasi.
Fakta yang Kita Sukar Terima
Mungkin terguran saya diatas sukar diterima dan mungkin juga akan dianggap cakap-cakap kosong. Jadi, izinkan saya bawa fakta dari kajian idustri firma penyelidikan.
Kajian oleh McKinsey dan Boston Consulting Group menunjukkan:
70% inisiatif transformasi gagal mencapai sasaran.
Dan punca paling besar bukan teknologi, bukan modal, bukan strategi.
Puncanya ialah rintangan untuk berubah.
Dalam psikologi, keadaan ini dipanggil ‘aversion to change’ – keengganan manusia untuk meninggalkan apa yang sudah biasa walaupun apa yang biasa itu tidak lagi berfungsi.
Dalam bahasa yang lebih mudah:
kita tahu cara lama itu tidak menjadi, tetapi kita takut untuk mencuba cara baharu.
Dan apabila kita takut, kita mula mencipta alasan.
“Kita dah usaha.”
“Kita dah cuba.”
“Kita redha.”
Sedangkan kalau kita lihat betul-betul, banyak daripada “redha” itu sebenarnya hanyalah kelelahan yang diletakkan dalam bekas spiritual, bukan reda yang sebenar.
Ini bukan saya kata, ini dapatan kajian tingkah laku manusia. Dan ia berlaku dalam semua industri sama-ada industri korporat, jualan langsung, kerajaan, malah organisasi besar sekalipun.
Usaha Yang Sama Akan Melahirkan Keputusan yang Sama
Albert Einstein pernah berkata bahawa kegilaan ialah apabila kita mengulangi perkara yang sama tetapi mengharapkan keputusan yang berbeza.
Saya sangat setuju dengan kata-kata Albert Einstein ini. Dan saya tambah sedikit:
kegilaan kedua ialah apabila kita mengulangi perkara yang sama, tetapi kemudian berkata “saya redha” untuk menutup rasa bersalah kerana tidak berusaha.
Ramai yang saya jumpa mempunyai impian dengan ‘vision board’ yang cantik, gambar rumah idaman, kereta idaman, masa depan yang Nampak gemilang. Tetapi apabila berbincang tentang strategi, mereka berkata:
“Saya rasa ini saja kemampuan saya.”
Adakah benar kemampuan kita sudah sampai ke ke tahap maximum?
Atau sebenarnya itu hanyalah alasan halus yang lahir daripada kemalasan yang dibajai selama bertahun-tahun?
Mengapa zon selesa sangat berbahaya kepada pemimpin?
Jawapannya mudah.
Kerana pemimpin menentukan budaya.
Dan budaya menentukan masa depan pasukan.
Apabila ketua pasukan mula pasrah, pasukan akan lebih cepat menyerah.
Apabila ketua berhenti belajar, pasukan berhenti berkembang.
Apabila ketua mula rasa “cukup dengan apa yang ada”, pasukan mula melupakan usaha
Dalam dunia jualan, dunia bisnes, dunia prestasi – ketua yang berhenti membina kapabiliti adalah ketua yang sedang membunuh masa depan pasukannya.
Jalan Keluarnya Sentiasa Ada. Tidak Pernah Tiada.
Untuk keluar daripada zon selesa, kita tidak perlu perkara yang luar biasa.
Kita hanya perlukan empat langkah yang konsisten:
1. Mewujudkan rasa keperluan yang mendesak
Pasukan perlu jelas mengapa perubahan mesti berlaku sekarang.
Bukan minggu depan. Bukan tahun depan.
Sekarang.
2. Mengurus rintangan perubahan
Kita perlu faham bahawa perubahan tidak gagal kerana strategi, tetapi kerana emosi manusia.
Pemimpin perlu memimpin perubahan, bukan hanya mengumumkan perubahan.
3. Perancangan yang jelas dan boleh diikuti
Rasa takut muncul apabila manusia tidak tahu apa langkah pertama.
Pelan tindakan mestilah jelas dan boleh dilaksanakan.
4. Pemantauan berterusan sehingga perubahan berlaku
Perubahan bukan berlaku kerana mesyuarat.
Ia berlaku kerana disiplin.
Itulah kerja sebenar pemimpin.
Usaha dan Takdir Bergerak Bersama
Saya percaya satu perkara:
selagi kita ditakdirkan mampu berusaha, selagi itu kita tidak boleh pasrah.
Redha ialah menerima keputusan selepas berusaha sepenuhnya.
Pasrah ialah berhenti berusaha sebelum mencuba apa-apa.
Bezanya sangat besar.
Dan bezanya menentukan masa depan kita.
Jadi kepada semua pemimpin, jurujual dan pasukan yang sedang membaca:
Sampai bila kita mahu menggunakan “redha” sebagai alasan untuk berdiam diri?
Sampai bila kita mahu menahan diri sendiri daripada menjadi versi terbaik yang kita sebenarnya mampu jadi?
Keputusan itu di tangan kita.
Dan masa depan tidak menunggu sesiapa.
Ts. Megat Zainurul Anuar Bin Megat Johari
#Prezcom
———–
Penulis | Penggerak Sosial | Innovator & Business Coach
Dengan keyakinan bahawa kata-kata mampu mengubah dunia, Ts. Megat Zainurul Anuar membina jambatan antara profesionalisme dan kemanusiaan. Dengan latar belakang Sarjana Sains dalam Pengurusan Maklumat dan pengalaman lebih 20 tahun membimbing syarikat utama Malaysia, beliau telah memilih pen sebagai instrumen perubaannya.
Sebagai Business Coach dan Certified National Competency Standard Trainer, Megat telah membantu banyak syarikat korporat dan agensi kerajaan di Malaysia seperti Sime Darby, Coway Malaysia, INTAN(Institut Tadbiran Awam Malaysia), MAMPU (Unit Permodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia) dan banyak lagi. Namun, pencapaian terbesarnya terletak pada program SAY LEAD PRO MALAYSIA, di mana beliau memberdayakan usahawan Orang Kurang Upaya (OKU) di bawah inspirasi DYTM, Tengku Amir Shah.
Megat percaya setiap naratif mempunyai kuasa untuk membuka minda dan menyentuh hati. Melalui penulisannya, beliau berjuang mendedahkan kebenaran, mencabar status quo, dan menyuarakan mereka yang tidak bersuara.
“Perubahan bermula dengan keberanian untuk melihat, memahami, dan bertindak.”
———–
Disclaimer:
Aritikel ini adalah sumbangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian PrezCom.