Seminar Tahunan Penjaja DBKL 2025: E-Dagang Jadi Senjata Baharu Usahawan Kecil

KUALA LUMPUR, 4/10/2025

Lebih 150 penjaja dan peniaga kecil berhimpun di Auditorium Menara DBKL 1 pada hari khamis 2 oktober bagi menghadiri Seminar Tahunan Penjaja 2025 anjuran Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL). Seminar bertemakan “E-Dagang – Menerobos Batasan, Mencipta Peluang” itu memberi tumpuan kepada strategi digitalisasi dan ketersediaan penjaja untuk menyesuaikan diri dengan era teknologi yang pantas berubah.

Majlis perasmian disempurnakan oleh YBrs. Tn. Ismadi bin Sakirin, Pengarah Eksekutif Pembangunan Sosial Ekonomi DBKL yang mewakili Datuk Bandar Kuala Lumpur, YBhg. Dato’ Seri TPr (Dr.) Maimunah Mohd Sharif. Beliau menegaskan komitmen DBKL untuk terus menyokong penjaja dalam meningkatkan daya saing melalui program latihan, bimbingan dan strategi pembangunan mampan.

Fokus Digitalisasi Penjaja

Antara panel jemputan ialah Dr. Hussaini (Perunding Bisnes), Anne Idris (Ikon Usahawan), Ameer Malaik (Usahawan), Syazwan (Personaliti TV) dan Coach Ts. Megat Zainurul Anuar bin Megat Johari (Business Coach & Corporate Trainer). Perbincangan forum menekankan kepentingan memilih platform e-dagang yang sesuai dengan produk dan sasaran pelanggan.

Coach Megat dalam sesi perkongsian beliau menjelaskan bahawa usahawan tidak perlu berada di semua platform digital, sebaliknya fokus kepada platform yang menempatkan pelanggan utama mereka. Beliau turut memberi contoh bahawa TikTok lebih dekat dengan generasi Z, Facebook mendominasi pengguna berusia 35 tahun ke atas, manakala Shopee mempunyai hampir 50% pengguna wanita berusia 25–34 tahun yang aktif membeli-belah.

Katanya lagi, penjaja perlu memahami isu margin keuntungan kerana rantaian digital melibatkan banyak pihak – pengilang, peniaga, platform dan logistik – yang boleh menjejaskan harga produk jika strategi tidak diatur dengan baik.

Seminar Tahunan Penjaja DBKL 2025: E-Dagang Jadi Senjata Baharu Usahawan Kecil

Pandangan Peserta

Seorang peserta, Anis bin Rahman, meluahkan rasa puas hati kerana seminar ini membuka matanya tentang potensi e-dagang. “Saya baru sedar bahawa kehadiran di platform digital bukan sekadar memasarkan produk, tetapi perlu ada engagement aktif dengan pelanggan. Perkara ini sangat penting untuk membina jenama,” katanya.

Impak Terhadap Usahawan Kecil

DBKL menjelaskan bahawa program ini bukan sekadar seminar, tetapi sebahagian daripada pelan pembangunan jangka panjang untuk memastikan penjaja kekal relevan dalam ekonomi digital. Dengan lebih 30 juta pengguna internet di Malaysia dan pertumbuhan e-dagang yang mencecah RM1.1 trilion nilai transaksi pada 2024 (Jabatan Perangkaan Malaysia), penjaja dilihat perlu segera mengadaptasi teknologi bagi memastikan mereka tidak ketinggalan.

Langkah ini juga dilihat seiring dengan aspirasi kerajaan untuk memperkukuh ekonomi digital yang menyumbang lebih 25% kepada KDNK menjelang 2030.

Seminar Tahunan Penjaja DBKL 2025 menjadi platform penting yang menghubungkan usahawan kecil dengan pakar industri, sekali gus memperkukuh keyakinan mereka untuk meneroka dunia e-dagang. Dengan sokongan DBKL dan perkongsian ilmu daripada panel berpengalaman, penjaja kini mempunyai hala tuju yang lebih jelas untuk melonjakkan perniagaan ke tahap lebih tinggi.

Usaha ini memberi mesej bahawa masa depan penjaja tidak lagi bergantung semata-mata pada gerai fizikal, tetapi pada keupayaan mereka menguasai ruang digital.

#Prezcom