
KUALA LUMPUR, 3 Oktober 2025
Kunjungan rasmi Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, ke Malaysia bulan ini mencetuskan kontroversi apabila Mufti Wilayah Persekutuan, Ahmad Fauwaz Fadzil, dipersoal hebat selepas cuba menjustifikasi lawatan tersebut dengan hujah maqasid syariah. Tindakan beliau hadir tatkala kemarahan rakyat memuncak terhadap serangan Israel ke atas Flotila Global Sumud yang membawa misi bantuan ke Gaza, sekali gus mengundang gelombang kecaman di seluruh negara.
Ahmad Fauwaz, yang dilantik awal tahun ini, menulis di laman rasmi pejabat mufti bahawa menolak kedatangan Trump adalah tindakan emosional dan boleh menjejaskan reputasi Malaysia. Beliau menegaskan Islam menganjurkan adab terhadap tetamu bukan Islam selagi kedatangan mereka secara aman dan rasmi, malah menyifatkan penentangan melulu sebagai boleh mengundang tekanan ekonomi dan diplomatik dari Washington.
Namun kenyataan itu segera mencetuskan kritikan. Di media sosial, warganet mengecamnya sebagai “Trump Mufti” kerana dianggap memberi pengiktirafan kepada seorang pemimpin yang secara terbuka menyokong Israel.
Reaksi Balas Rakyat dan Akademik
Antara yang paling lantang mengkritik ialah Ahli Parlimen Pasir Mas, Syed Ahmad Fadhli, yang menegaskan bahawa mustahil untuk menganggap Trump sebagai “penjaga keamanan dan tamadun” ketika Palestin terus dibedil. Seorang pensyarah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Muhammad Ikram Abu Hassan, pula menolak hujah “keperluan ekonomi” yang digunakan Ahmad Fauwaz dengan menegaskan bahawa Islam melarang berkompromi dengan pihak yang memerangi umat Islam di mana-mana sahaja.
Media sosial turut dibanjiri sindiran pedas, antaranya pengguna yang menulis “mufti Mcdani” merujuk jenama makanan segera yang diboikot kerana dikaitkan dengan Israel.
Ketika Gaza Berdarah, Malaysia Bergolak
Kontroversi ini meletus hanya beberapa jam selepas tentera Israel menyerang 13 kapal flotila menuju Gaza, menahan hampir 200 aktivis kemanusiaan dari 37 negara termasuk 12 rakyat Malaysia. Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, mengecam keras serangan itu, namun tindakannya turut dipersoalkan selepas kerajaan sebelum ini memuji pelan 20 perkara Trump yang digelar pemerhati antarabangsa sebagai “penjajahan baharu” dan “resipi menyerah kalah Palestin”.
Pelan tersebut, diumumkan Trump selepas pertemuan dengan Benjamin Netanyahu, didakwa sebagai usaha mengekalkan dominasi Israel sambil dipakejkan dengan istilah pembangunan. Beberapa tokoh Malaysia menandatangani kenyataan bersama yang menggesa dunia menolak pelan itu, menyifatkannya sebagai lanjutan penindasan yang dialami rakyat Palestin sejak berdekad-dekad.
Suara Ulama dan Protes Jalanan
Berbeza dengan Mufti Wilayah, Mufti Perlis, Mohd Asri Zainul Abidin, menyokong seruan untuk turun berhimpun pada 3 Oktober di hadapan Kedutaan AS di Kuala Lumpur, mengajak rakyat Malaysia menunjukkan bantahan terhadap Trump. Beliau menegaskan bahawa lawatan Trump hanya menzahirkan “otak gila” yang merancang pembunuhan rakyat Gaza.
Rakyat dijangka membanjiri jalanan sebagai isyarat penentangan jelas terhadap polisi Amerika Syarikat yang berpihak kepada Israel. Protes ini bakal menjadi ujian besar kepada kerajaan Madani yang sering melaungkan komitmen terhadap Palestin di pentas antarabangsa, namun pada masa sama mengekalkan hubungan mesra dengan Washington.
Kontroversi yang tercetus membongkar dilema besar Malaysia: antara prinsip solidariti terhadap Palestin dan keperluan diplomatik dengan Amerika Syarikat. Penjelasan Mufti Wilayah Persekutuan bukan sahaja gagal meredakan ketegangan, malah menambah luka dalam hati rakyat yang sedang menyaksikan saudara seagama mereka dibunuh di Gaza.
Ketika flotila kemanusiaan diserang dan aktivis ditahan, rakyat Malaysia menuntut tindakan yang lebih jelas dan tegas, bukan sekadar hujah akademik yang menjustifikasi lawatan seorang presiden yang secara terbuka menyokong penindasan Israel.
#Prezcom