
PUTRAJAYA, 14/09/2025
Perdebatan mengenai masa depan program matrikulasi kembali mencetuskan gelombang kontroversi apabila Persatuan Belia Baharu Universiti Malaya (UMANY) menuntut pemansuhan program tersebut dan menjadikan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) sebagai laluan tunggal ke universiti awam (UA). Tindakan ini segera mendapat reaksi keras, termasuk bantahan daripada Gabungan Gerakan Mahasiswa Universiti yang menganggap cadangan itu bakal menjejaskan akses pendidikan tinggi khususnya pelajar Bumiputera.
UMANY Desak Mansuh Matrikulasi, Guna STPM Sahaja
Presiden UMANY, Tang Yi Ze, menegaskan silibus STPM lebih mencabar, diiktiraf antarabangsa dan patut dijadikan piawaian tunggal. Menurutnya, ramai pelajar cemerlang STPM dengan Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 3.75 hingga 4.0 gagal menempatkan diri dalam kursus pilihan utama meskipun memenuhi merit.
“Seorang pelajar dengan PNGK penuh 4.0 dan markah kokurikulum hampir sempurna hanya ditawarkan kursus pilihan kelapan, manakala tiga pilihan utama diketepikan tanpa alasan jelas. Ini menandakan wujud ketidakadilan dalam sistem UPU,” katanya selepas menyerahkan dokumen aduan kepada Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).
UMANY juga menuntut KPT mendedahkan mekanisme penentuan kursus di bawah Unit Pusat Universiti (UPU), termasuk bilangan kuota bagi jurusan kritikal seperti perubatan, perakaunan dan perundangan.
Gerakan Mahasiswa Universiti Tolak Cadangan UMANY
Tuntutan UMANY bagaimanapun segera mendapat tentangan. Gabungan Gerakan Mahasiswa Universiti menyerahkan memorandum bantahan kepada KPT, menyifatkan cadangan pemansuhan matrikulasi bakal mengurangkan peluang pelajar Bumiputera melanjutkan pengajian ke UA.
Mereka menegaskan bahawa matrikulasi sejak diperkenalkan berperanan sebagai saluran alternatif yang penting bagi melahirkan ribuan graduan Bumiputera. Menurut gabungan itu, cadangan UMANY bukan sahaja menjejaskan dasar afirmatif tetapi juga berpotensi mencetuskan ketidakseimbangan sosial dalam akses pendidikan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini turut memberi jaminan bahawa kuota Bumiputera dalam program matrikulasi akan terus dikekalkan sebagai dasar kerajaan.
Akmal Saleh: “Kalau Nak Mansuh, Hapuskan Sekolah Pelbagai Aliran Sekali”
Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Akmal Saleh, turut menyertai polemik ini dengan menyindir UMANY. Beliau mencabar presiden persatuan itu untuk terlebih dahulu menuntut penghapusan sekolah pelbagai aliran sebelum bercakap soal pemansuhan matrikulasi.
“Kalau kamu mahu mansuh matrikulasi untuk jadikan STPM syarat tunggal masuk universiti, adakah kamu setuju hapuskan sekolah jenis kebangsaan dan wujudkan hanya satu aliran sekolah? Kalau tidak, jangan sembang nak mansuhkan matrikulasi,” katanya.
#Prezcom