
SHAH ALAM, 05/09/2025
Gegaran tanah yang melanda Johor sejak Ogos lalu bukan lagi kebetulan. Kajian terkini ahli geologi mendedahkan bahawa Malaysia sebenarnya berada dalam kawasan Lingkaran Api Pasifik, sekali gus menamatkan persepsi bahawa negara ini bebas daripada ancaman gempa bumi.
Pakar Geostrategi, Profesor Dr Azmi Hassan menjelaskan, walaupun Malaysia tidak dikategorikan secara rasmi dalam peta seismik dunia, kedudukan Johor yang paling hampir dengan lingkaran berisiko itu menjadikannya terdedah.
“Memang benar Malaysia bukan sebahagian daripada Lingkaran Api Pasifik. Namun Johor ialah kawasan paling dekat dengan zon ini. Maka tidak hairan jika negeri itu merekodkan gegaran,” katanya ketika ditemui di Shah Alam.
Pensyarah Kanan Fakulti Kejuruteraan Universiti Malaysia Sabah (UMS), Profesor Madya Dr Noor Sheena Herayani Harith, berkata rekod sejarah menunjukkan Malaysia sudah mengalami gegaran sejak tahun 1805. Namun, banyak peristiwa tidak direkod secara sistematik kerana kerosakan yang berlaku sangat minimum.
Beliau mendedahkan laporan rasmi Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM) pada tahun 1984 yang merekodkan kejadian gempa pertama di Pulau Pinang dengan intensiti rendah berdasarkan skala Modified Mercalli Intensity (MMI).
“Di Segamat baru-baru ini, gegaran 4.1 magnitud mengakibatkan keretakan pada bangunan. Dalam sains seismologi, ia dianggap sebagai ‘main event’, iaitu pelepasan tenaga utama yang biasanya diikuti gempa susulan,” katanya.
Sheena turut memberi amaran bahawa magnitud gempa di Malaysia menunjukkan peningkatan ketara. Jika dahulu sekitar 2 hingga 3 magnitud, kini sudah mencapai 4 hingga 6. Antara rekod besar termasuk gempa Ranau pada 2015 (6.0 magnitud) yang meranapkan sebuah menara masjid, dan gempa Lahad Datu pada 1976 dengan bacaan 6.3 magnitud.
Azmi menegaskan cabaran utama negara ialah ketiadaan sistem amaran awal yang mampu meramalkan gegaran secara tepat. Katanya, teknologi yang ada masih belum dapat memberi isyarat awal di Malaysia, menyebabkan aspek kesedaran masyarakat lebih kritikal berbanding bergantung kepada ramalan.
“Kita tidak ada peralatan pemantauan di kawasan kritikal seperti Johor. Jadi, jalan terbaik ialah mendidik masyarakat agar sentiasa bersiap siaga,” katanya.
Bagi meningkatkan persediaan, lebih 300 penduduk dan pemimpin masyarakat Segamat menyertai Program Pengurusan Risiko Bencana Gempa Bumi anjuran Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia bersama MetMalaysia dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA).
Pengarah Pusat Operasi Cuaca dan Gempa Bumi Kebangsaan, Marqun Fadzli Mohd Fahmi menegaskan program sebegini penting walaupun di kawasan yang tidak dikategorikan sebagai zon gempa aktif.
“Latihan kesedaran awal mampu mengurangkan risiko dan memastikan keselamatan masyarakat sekiranya gegaran berlaku,” katanya.
Bagi penduduk tempatan, pengalaman ini membuka mata mereka. “Saya tidak pernah terfikir Johor boleh digegar gempa. Program ini memberi keyakinan untuk lebih bersedia,” kata Mohammad Khairul Najid Mustafha, 34, dari Taman Yayasan.
Hanya sehari selepas program kesedaran tersebut, Johor sekali lagi digegarkan dengan gempa kecil 2.9 magnitud di Sri Medan, Parit Sulong. Menurut laporan MetMalaysia, gegaran berlaku pada jam 6.39 petang dengan kedalaman 10 kilometer.
Sebelum itu, sejak 24 Ogos, Segamat sudah merekodkan enam gegaran berturut-turut dengan magnitud antara 2.5 hingga 4.1, sekali gus membuktikan aktiviti seismik di negeri itu semakin kerap dan tidak boleh dipandang ringan.
Penemuan bahawa Malaysia berada dalam Lingkaran Api Pasifik membawa implikasi besar terhadap dasar pembangunan negara. Kualiti struktur bangunan, persediaan sistem kecemasan, dan tahap kesedaran masyarakat perlu ditingkatkan segera.
Pakar menegaskan bahawa pemantauan seismik mesti diperluas dengan pemasangan alat pengesan di lokasi strategik, manakala kerajaan negeri dan persekutuan wajar mengintegrasikan latihan kesiapsiagaan gempa dalam dasar pengurusan bencana.
Fakta bahawa Malaysia kini diiktiraf sebagai sebahagian daripada Lingkaran Api Pasifik adalah satu tamparan kepada persepsi lama bahawa negara ini “zon selamat”. Dengan rekod sejarah yang semakin jelas dan gegaran semasa yang kerap berlaku, isu ini tidak lagi boleh dianggap remeh. Kesedaran, kesiapsiagaan dan dasar pembangunan berasaskan sains seismologi menjadi kunci bagi mengurangkan risiko bencana pada masa depan.
#Prezcom