
BANGI, 27/08/2025
Suasana penuh meriah menyelubungi Bangi Avenue Convention Centre (BACC) semalam apabila seramai 266 graduan Kolej Komuniti Selayang diraikan dalam Konvokesyen Kolej Komuniti Negeri Selangor 2025, yang turut menghimpunkan lebih 1,100 graduan daripada seluruh negeri.
Majlis gilang-gemilang itu dianjurkan dalam dua sidang utama. Sidang Pertama pada sebelah pagi disempurnakan oleh YBhg. Dato’ Dr. Haji Mohd Zahari bin Ismail, Ketua Pengarah Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (KPPK). Manakala Sidang Kedua pada sebelah petang disempurnakan oleh YBhg. Dato’ Ar. IDr. Zulkhairi bin Md Zain, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pertubuhan Akitek Malaysia (PAM).
Majlis kali ini turut menobatkan Nur Aleeya Natasha binti Nasarudin, graduan Sijil Pastri Kolej Komuniti Selayang, sebagai penerima Anugerah Usahawan Harapan Kolej Komuniti Negeri Selangor di samping meraih Anugerah Pelajar Cemerlang. Usahawan muda ini kini mengendalikan perniagaan pastri dengan pendapatan mencecah lima angka, sekali gus membuktikan keupayaan graduan kolej komuniti untuk menyerlah sebagai pencetus inovasi dan keusahawanan muda.
Suasana syahdu menyelubungi dewan apabila pihak kolej menyampaikan skrol konvokesyen bagi pihak Allahyarhamah Anis Balqis binti Mazrin, pelajar Sijil Pastri yang kembali ke rahmatullah pada 27 April 2025. Skrol tersebut diterima oleh kakaknya, Puan Athirah Sorfina binti Mazrin, yang menzahirkan rasa syukur atas penghormatan itu. “Ia menjadi simbol kejayaan Allahyarhamah dan kenangan abadi yang akan terus menginspirasi warga kolej komuniti,” katanya dengan penuh emosi.
Secara keseluruhan, Konvokesyen Kolej Komuniti Negeri Selangor 2025 meraikan seramai 1,186 graduan daripada 10 kolej komuniti induk dan sebuah kolej cawangan di bawah seliaan Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK), Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).
Majlis ini sekali lagi memperlihatkan komitmen berterusan kolej komuniti dalam melahirkan graduan berkemahiran tinggi, berdaya saing dan berjiwa keusahawanan, seiring aspirasi negara memperkukuh Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET). Selain itu, kolej komuniti kekal sebagai tonggak penting dalam menyediakan akses pendidikan kepada masyarakat setempat, memperkasa ekonomi komuniti, serta menggalakkan Pembelajaran Sepanjang Hayat (PSH).
Konvokesyen tahun ini bukan sahaja meraikan pencapaian akademik, malah menjadi pentas pengiktirafan kepada usaha keusahawanan muda, solidariti komuniti dan semangat perjuangan pelajar. Ia membuktikan bahawa kolej komuniti terus relevan sebagai wadah membina generasi berilmu, berkemahiran dan bersedia memacu pembangunan negara.
SUMBER: Unit Komunikasi dan Hubungan Korporat, Koleh Komuniti Selayang
#Prezcom