
KUALA LUMPUR, 28/08/2025
Malaysia mengorak langkah besar dalam agenda peralihan tenaga apabila Malaysia Debt Ventures Berhad (MDV), agensi di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), meluluskan pembiayaan berjumlah RM122.65 juta kepada enam syarikat berasaskan teknologi yang melaksanakan projek tenaga bersih di bawah Kemudahan Peralihan Tenaga Nasional (National Energy Transition Facility, NETF).
Daripada jumlah tersebut, sebanyak RM40.09 juta diperuntukkan dalam bentuk insentif bersasar, termasuk rebat dan mekanisme penambah baik kredit bagi mengurangkan kos pembiayaan serta meningkatkan daya kebolehbiayaan projek. Lima syarikat terpilih memberi tumpuan kepada penyelesaian tenaga boleh diperbaharui seperti solar dan biogas, manakala satu lagi fokus kepada inisiatif kecekapan tenaga.
Kemudahan NETF diperkenalkan dalam Belanjawan 2025 di bawah Kementerian Ekonomi, sebagai sebahagian daripada Pelan Peralihan Tenaga Nasional (NETR). MDV diberi mandat mengurus sehingga RM200 juta dana NETF bagi memastikan projek-projek peralihan tenaga terus berdaya maju.
Menteri MOSTI, YB Chang Lih Kang, berkata pelaksanaan NETF adalah tonggak penting bagi mencapai sasaran NETR. “Peralihan tenaga merupakan agenda utama pembangunan mampan negara. Dengan mandat ini, MDV berada pada kedudukan strategik untuk menyalurkan dana kepada projek berimpak tinggi sekali gus mengukuhkan kepimpinan Malaysia dalam inovasi rendah karbon,” katanya.
Menurut unjuran Kementerian Ekonomi, pelaksanaan NETR dijangka mampu mewujudkan sehingga 350,000 peluang pekerjaan baharu dan menyumbang kepada peningkatan KDNK antara 10% hingga 15% dalam tempoh dua dekad akan datang.
Malaysia menyasarkan untuk mencapai 31% kapasiti tenaga boleh diperbaharui menjelang 2025, 40% pada 2035 dan 70% pada 2050. Selain itu, negara beriltizam mencapai sasaran sifar bersih pelepasan gas rumah kaca menjelang 2050, dengan pengurangan intensiti karbon sebanyak 45% menjelang 2030 berbanding tahap 2005.
Pengerusi MDV, YB Wong Chen, menegaskan keyakinan agensi itu untuk menjadi rakan utama kerajaan dalam mempercepat transformasi tenaga negara. “Pembiayaan ini akan menggalakkan pengambilan tenaga boleh diperbaharui, memacu inovasi hijau, dan seterusnya menyumbang kepada kemajuan sosioekonomi. Fokus kami adalah kepada hasil nyata yang menyokong visi NETR bagi masa depan rendah karbon,” katanya.
Ketua Pegawai Eksekutif MDV, Rizal Fauzi, pula menegaskan bahawa dana NETF akan mengutamakan syarikat teknologi, terutamanya PKS dan syarikat pemula (start-up), agar mereka mempunyai akses kepada pembiayaan yang mencukupi. “Matlamat kami adalah memastikan sektor teknologi mendapat sokongan untuk membangun penyelesaian tenaga lestari dan menyumbang kepada daya tahan masa depan tenaga negara,” katanya.
Pembiayaan RM122.65 juta yang diumumkan hari ini menjadi bukti komitmen kerajaan untuk mempercepat peralihan tenaga, mengurangkan pelepasan karbon dan membuka ruang ekonomi hijau baharu. Melalui NETF, Malaysia bukan sahaja memperkukuh kedudukannya dalam rantau ini sebagai peneraju inovasi tenaga bersih, malah menghantar mesej jelas bahawa masa depan pembangunan negara mesti digerakkan secara mampan dan inklusif.
SUMBER:
Bahagian Komunikasi Korporat, Jabatan Penerangan Malaysia
#Prezcom