
KUALA LUMPUR, 27/08/2025
Suasana politik negara semakin tegang apabila Rang Undang-undang Pembaharuan Semula Bandar (URA) yang dijadual untuk bacaan kedua di Dewan Rakyat hari ini mendapat tentangan keras daripada blok pembangkang. Ketua Whip Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Takiyuddin Hassan, menegaskan bahawa URA bukan sekadar undang-undang kecil tetapi berpotensi memberi kesan menyeluruh terhadap rakyat, negeri, dan institusi beraja.
Dalam sidang media di hadapan Parlimen semalam selepas menerima memorandum bantahan daripada pelbagai NGO, Takiyuddin melahirkan rasa kecewa kerana permintaan pembangkang agar rang undang-undang itu ditangguhkan sebelum ini tidak diendahkan oleh Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming. Menurut beliau, tindakan Nga membelakangi gesaan Jawatankuasa Pilihan Khas Infrastruktur dan Pengangkutan yang dipengerusikan Ahli Parlimen kerajaan sendiri membuktikan sikap “autokratik dan samseng” menteri berkenaan.
Takiyuddin turut mendedahkan bahawa empat negeri yang berada di bawah pentadbiran SG4 – Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis – sebulat suara menolak URA. Beliau mempersoalkan pendirian negeri-negeri lain yang ditadbir parti pemerintah seperti Johor, Melaka, Pahang dan Perak, sama ada mereka akan berdiam diri terhadap apa yang digelar sebagai undang-undang “zalim dan merampas hak rakyat miskin”.
Lebih membimbangkan, ujar beliau, URA dilihat menghakis kuasa kerajaan negeri, Raja-raja Melayu serta Yang di-Pertuan Agong. “Bagi Kuala Lumpur, URA meletakkan Menteri Persekutuan sebagai ‘state authority’ menggantikan peranan Yang di-Pertua Negeri. Ini jelas bercanggah dengan Perlembagaan, Kanun Tanah Negara dan Akta Pengambilan Tanah,” tegasnya.
Pembangkang melabel URA sebagai “Urban Robbery Act”, satu sindiran tajam yang menggambarkan kebimbangan mereka bahawa tanah rakyat marhaen akan dirampas demi pembangunan yang hanya menguntungkan kelompok kaya. “Ini bukan soal politik kepartian, tetapi soal membela rakyat miskin yang bakal kehilangan hak milik dan tempat tinggal mereka,” kata Takiyuddin lagi.
Beliau juga mengingatkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, tentang sejarah perjuangannya ketika membela nasib penduduk miskin di Tasik Utara dan Pelabuhan Klang beberapa dekad lalu. “Dulu Anwar Ibrahim diangkat sebagai pejuang rakyat. Tetapi kini beliau dilihat tunduk kepada kepentingan kapitalis dengan berselindung di sebalik slogan Madani,” katanya.
Takiyuddin menegaskan, PN bersama NGO yang hadir akan terus menggembleng sokongan rakyat agar URA ditarik balik dan tidak diluluskan esok. Menurutnya, walaupun kerajaan mempunyai kelebihan majoriti, “tyranny of majority” tidak wajar digunakan untuk meluluskan undang-undang yang ditolak rakyat. “Jika mereka berdegil, kami akan lawan habis-habisan. Esok adalah ujian siapa pejuang rakyat dan siapa pengkhianat,” katanya dengan nada lantang.
#Prezcom