
KUALA LUMPUR, 25/08/2025
Dataran Merdeka malam tadi menjadi saksi lautan manusia apabila lebih 100,000 rakyat berhimpun dalam Malam Himpunan dan Selawat Malaysiaku Bersama Gaza, acara kemuncak Karnival Sumud Nusantara 2025. Kehadiran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, memberi isyarat jelas bahawa Malaysia kekal konsisten sebagai pendukung utama perjuangan Palestin di peringkat antarabangsa.
Dalam ucapannya, Anwar mengejutkan hadirin dengan pengumuman dana tambahan RM100 juta khusus untuk rakyat Palestin, sekali gus menggandakan komitmen kerajaan selepas dana awal RM100 juta diluluskan dua tahun lalu. “Mana pun saya pergi, saya tidak pernah meninggalkan Palestin. Malam ini, kerajaan Madani menyalurkan RM100 juta tambahan sebagai permulaan dana bantuan,” tegas beliau.
Anwar tiba pada jam 9.06 malam diiringi Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar, dan Ketua Pengarah Sumud Nusantara merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Cinta Gaza Malaysia, Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman. Turut hadir, Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa, serta Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.
Perhimpunan bersejarah ini menghimpunkan delegasi konvoi Sumud Nusantara dari Malaysia, Indonesia, Pakistan, Bangladesh, Sri Lanka, Maldives, Filipina dan Thailand. Delegasi itu akan dilepaskan malam ini sebagai sebahagian daripada misi flotilla antarabangsa menuju Gaza.
Selain syarahan khas solidariti oleh Perdana Menteri, program turut disusuli solat hajat, bacaan qunut nazilah, tausiah, selawat serta persembahan qasidah oleh Majelis Az-Zahir pimpinan Habib Ali Zainal Abidin Assegaf.
Dalam pidato penuh emosi, Anwar mengecam kekejaman rejim Zionis, menyifatkan Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu sebagai “kurang siuman” kerana sanggup membunuh kanak-kanak dan wanita tanpa perikemanusiaan.
“Apa yang berlaku di Gaza ialah penjajahan. Orang lapar mati kebuluran, ubat-ubatan tidak dibenarkan masuk. Netanyahu dan kelompoknya mempertahankan kezaliman, malah anak-anak kecil turut dituduh sebagai Hamas. Ini bukan manusia, ini haiwan,” ujar Anwar disambut sorakan hadirin.
Beliau menegaskan pendirian Malaysia tidak akan berubah. Setiap pertemuan dengan pemimpin dunia – sama ada dari Jepun, China, India atau negara Islam – digunakan untuk menyatakan bantahan terhadap kezaliman Israel dan meraih sokongan antarabangsa.
Kehadiran ratusan ribu rakyat berpakaian putih sebagai simbol solidariti Palestin membuktikan isu Gaza bukan hanya soal politik luar negara, tetapi juga menyentuh hati nurani rakyat Malaysia.
Selain dana tambahan kerajaan, Anwar turut menyeru syarikat korporat untuk bersama menyumbang ke dalam tabung kemanusiaan. Deklarasi Sumud Nusantara yang dibacakan oleh CEO Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM), Datuk Dr Sani Araby Abdul Alim, meneguhkan lagi komitmen Malaysia dalam memperjuangkan kebebasan Palestin.
Malam penuh emosi di Dataran Merdeka ini bukan sekadar perhimpunan, tetapi mesej lantang kepada dunia bahawa Malaysia tidak akan berganjak daripada pendirian menolak kezaliman Israel. Dengan pelepasan konvoi antarabangsa, pengumuman dana RM100 juta tambahan, serta doa yang dipanjatkan ribuan rakyat, Malaysia sekali lagi menegaskan: perjuangan Palestin adalah perjuangan kemanusiaan sejagat, dan ia tidak akan terpadam dari denyut nadi rakyat negara ini.
#Prezcom