
KUALA LUMPUR, 24/08/2025
Dataran Merdeka malam tadi menyaksikan detik bersejarah apabila lebih 100,000 rakyat berhimpun dalam satu lautan putih sebagai tanda solidariti bersama Gaza. Perhimpunan kemuncak Karnival Sumud Nusantara yang berlangsung sejak 22 Ogos itu bukan sekadar acara biasa, sebaliknya mencatat simbol kemanusiaan terbesar yang pernah diadakan di Malaysia untuk Palestin.
Lebih mengejutkan, ribuan hadirin terharu apabila menyaksikan gergasi peta Palestin terbentuk daripada 8,000 anak patung teddy bear pelbagai jenis dan warna yang disusun di tengah dataran. Setiap satunya mewakili lebih 18,000 kanak-kanak Palestin yang terkorban akibat serangan rejim Israel. Ia menjadi simbol peringatan paling menyentuh hati, di samping laungan takbir dan doa yang bergema sepanjang perhimpunan.
Malam Himpunan & Selawat Malaysiaku Bersama Gaza + Deklarasi Sumud (Sumud Nusantara) malam tadi ini turut menjadi saksi kepada kehadiran hampir 100 peserta konvoi Sumud Nusantara yang membawa delegasi dari zon utara, timur dan tengah Malaysia, bersama wakil antarabangsa dari lapan negara termasuk Indonesia, Maldives, Bangladesh dan Pakistan. Kehadiran mereka menzahirkan mesej bahawa perjuangan membela Gaza merentasi sempadan agama, bangsa dan negara.
Ketua Pegawai Eksekutif Cinta Gaza Malaysia (CGM), Nadir Al-Nuri Kamaruzaman, menjelaskan konvoi berkenaan akan berlepas pada 31 Ogos dan 4 September menuju ke Sepanyol dan Tunisia sebelum menyertai flotila antarabangsa ke Gaza. “Misi ini bukan untuk berperang, tetapi sebagai tekanan diplomatik dan kemanusiaan bagi menolak kekejaman yang masih berlaku di bumi Gaza,” tegas beliau.
Acara ini mendapat sokongan penuh kerajaan dengan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri telah merasmikan pelepasan konvoi tersebut pada malam tadi dengan pelancaran “Flag-Off Delegasi Flotilla Sumud Nusantara’. Empat menteri kabinet turut bertindak sebagai penaung bersama iaitu Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Naim Mokhtar, Menteri Wilayah Persekutuan dan Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa.
Turut hadir memberikan ucapan adalah Dato’ (DR.) Ahmad Sani Dato’ Abdul Alim Araby, CEO Majlis Perundingan Islam Malaysia (MAPIM) & Pengarah Malam Himpunan & Selawat Malaysiaku Bersama Gaza serta ribuan aktivis masyarakat sivil, NGO, mahasiswa dan keluarga yang bersama-sama menjadikan Dataran Merdeka satu pentas solidariti kemanusiaan yang luar biasa.
Penganjuran ini bukan sahaja memperlihatkan komitmen Malaysia terhadap perjuangan Palestin, malah memperkukuh imej negara sebagai peneraju suara kemanusiaan di peringkat antarabangsa. Malaysia yang konsisten menolak penjajahan Israel sejak sekian lama, sekali lagi mempertegaskan pendirian bahawa keadilan untuk Palestin adalah sebahagian daripada dasar luar negara.
Selain memberi mesej jelas kepada dunia, acara ini juga menjadi ruang penyatuan rakyat Malaysia merentasi agama dan kaum dalam mengangkat isu kemanusiaan global.
Himpunan solidariti gergasi ini membuktikan bahawa penderitaan Gaza tidak pernah terpinggir daripada hati rakyat Malaysia. Dengan simbol teddy bear yang menggambarkan kehilangan nyawa kanak-kanak, konvoi antarabangsa yang akan berlepas, serta sokongan padu kepimpinan negara, mesej yang dihantar ke seluruh dunia adalah tegas: rakyat Malaysia berdiri teguh menentang kezaliman dan menuntut keadilan untuk Palestin.
#Prezcom