
MANJUNG, 19/8/2025
Pulau Pangkor mencatatkan pendaratan ikan bilis sebanyak 2,844.44 tan metrik bernilai RM42.67 juta pada tahun 2024, sekali gus menjadikannya penyumbang terbesar hasil pendaratan ikan bilis di negeri Perak. YB Datuk Seri Haji Mohamad bin Sabu, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, mengadakan lawatan kerja ke kawasan ini bagi meninjau perkembangan industri perikanan setempat, khususnya sektor penangkapan ikan bilis
Secara nasional, pendaratan ikan bilis pada tahun 2024 adalah 14,589.20 tan metrik bernilai RM164.89 juta. Statistik ini merujuk kepada spesies yang sama iaitu Bilis/Bunga Air, sebagaimana dikategorikan dalam rekod rasmi. Negeri-negeri utama pengeluar ikan bilis termasuk Sabah (5,956.17 tan metrik), Kedah (1,818.98 tan metrik), Perak (2,852.91 tan metrik) dan Kelantan (992.65 tan metrik). Walaupun data vesel penangkapan di Pulau Pangkor tidak membezakan secara khusus bot yang menangkap ikan bilis, kawasan ini mempunyai 694 vesel berdaftar yang beroperasi di pelbagai zon iaitu Zon A (462 vesel), Zon B (44 vesel), Zon C (168 vesel) dan Zon C2 (20 vesel). Kapasiti ini membolehkan aktiviti pendaratan pelbagai spesies ikan dijalankan secara berterusan, termasuk ikan bilis.
Selain ikan bilis, statistik Jabatan Perikanan Malaysia bagi tahun 2024 menunjukkan 10 spesies utama yang didaratkan di Manjung Selatan ialah Pelaling/Temenong, Kayu/Tongkol/Aya Kurik, Tamban Sisek, Selayang/Cerut, Bilis/Bunga Air, Kembong, Cincaru, Selar, Udang Putih/Kertas Besar dan Sotong Biasa. Keseluruhan pendaratan di daerah ini bernilai RM644.08 juta.
Pulau Pangkor turut memainkan peranan dalam sektor akuakultur negeri Perak, dengan pengeluaran sebanyak 7,056.40 tan metrik pada tahun 2024. Aktiviti ini melibatkan pelbagai sistem ternakan seperti kolam air payau, sangkar, kerang-kerangan, kolam air tawar, hatchery dan hiasan air tawar, meliputi keluasan lebih 1,264 hektar. Ketua Pengarah Perikanan, Dato’ Haji Adnan bin Hussain, berkata Pulau Pangkor kekal sebagai lokasi penting dalam industri perikanan negara dengan kelebihan strategik sebagai pusat pengeluaran ikan bilis berkualiti tinggi yang menjadi penanda aras industri tersebut.
“Pulau Pangkor kekal sebagai lokasi utama pendaratan ikan bilis negara dengan hasil yang memberi impak besar kepada ekonomi nelayan dan komuniti setempat. Jabatan Perikanan Malaysia akan memastikan sumber ini diurus secara mampan melalui kawalan penangkapan, penguatkuasaan peraturan, dan kerjasama rapat dengan komuniti nelayan supaya industry bilis terus berkembang dan menjadi sumber rezeki yang berterusan,” katanya.
Rekod lima tahun menunjukkan pendaratan ikan bilis di Pulau Pangkor meningkat daripada 879.93 tan metrik (RM8.97 juta) pada 2020 kepada 2,844.44 tan metrik (RM42.67 juta) pada 2024, membuktikan potensi pertumbuhan yang konsisten dan kukuh.
Dalam lawatan tersebut, YB Datuk Seri Haji Mohamad bin Sabu menzahirkan komitmen Kementerian dalam memperkukuh industri perikanan negara apabila berpeluang bertemu komuniti nelayan, meninjau kemudahan di kawasan pendaratan, dan mendapatkan maklum balas langsung mengenai cabaran serta potensi pembangunan sektor ini di Pulau Pangkor.
SUMBER
Bahagian Komunikasi Korprat Jabatan Penerangan Malaysia
Unit Komunikasi Korprat Jabatan Perikanan Malaysia
#Prezcom