
Putrajaya 21 April 2023. Ketua Pengarah Kesihatan, YBhg Tan Sri Dato’ Seri Dr Noor Hisham Abdullah yang menamatkan tempoh bersara wajib pada 21 April 2023 semalam mengimbas kad perakam waktu buat kali terakhir pada jam 4.15 petang di Puterajaya sebagai tanda simbolik berakhirnya tugas beliau sebagai Ketua Pengarah Kesihatan setelah berkhidmat selama 35 tahun.
Menteri Kesihatan, YB Dr. Zaliha Mustafa selain sempat hadir bersama di majlis persaraan YBhg Tan Sri Dato’ Seri Dr Noor Hisham juga turut membuat hantaran di Facebook peribadinya, katanya; “Saya percaya khidmat YBhg Tan Sri tidak terhenti di sini bahkan khidmat tersebut masih diperlukan untuk pembangunan perubatan dan kesihatan negara. Saya mewakili pihak Kementerian Kesihatan Malaysia ingin mengucapkan Selamat Bersara dan setinggi-tinggi ucapan terima kasih kepada YBhg. Tan Sri Dr Noor Hisham di atas jasa, khidmat bakti dan sumbangan yang telah beliau sumbangkan sepanjang perkhidmatan beliau di Kementerian ini.”
Sementara itu Tan Sri Dr Noor Hisham juga sempat mengungkapkan sebuah pantun empat (4) kerat yang dimuat naik di Facebook peribadi beliau sebagai tanda salam perpisahan. Pantuan beliau berbunyi;
Sarat muatan barang dagangan,
Bahtera kunjung ke hujung Tanjung;
Mesra hubungan manis kenangan,
Bakti disanjung budi dijunjung.
Kapal layar kemudi cermat,
Bijak nakhoda melawan gelora;
35 tahun setia berkhidmat;
Tiba detiknya waktu bersara.
Langit dan mega luas terbentang,
Kadangnya cerah yang gelap menanti;
Teruskan berjasa pimpinan mendatang,
Yang patah tumbuh yang hilang berganti.
#PrezCom