
KUALA LUMPUR, 31/7/2025
Band rock legenda tanah air, XPDC, bakal tampil dengan konsep unik melalui konsert “XPDC Metalkestra” yang menggabungkan irama metal dengan alunan muzik orkestra di Zepp Kuala Lumpur pada 8 November 2025. Menjanjikan pengalaman luar biasa, konsert ini bakal menghidupkan semula nostalgia peminat dengan sentuhan muzik yang segar dan memukau.
Setelah lebih 40 tahun mewarnai industri muzik Malaysia, XPDC kini muncul dengan satu lagi inovasi muzik melalui konsep “Metalkestra”. Gabungan ini bakal menyajikan peminat dengan keunikan gabungan heavy metal dan muzik klasik orkestra, memberi dimensi baharu kepada lagu-lagu popular mereka seperti “Apa Nak Dikatakan”, “Nafisa”, “Kita Peng Yu”, “Hidup Bersama”, “Hijau Bumi Tuhan”, dan “CT Cinta Kenangan Silam”.

Menurut Izo, wakil daripada kumpulan XPDC, konsert ini bukan sekadar persembahan biasa tetapi penghargaan khas kepada para peminat yang setia menyokong mereka sejak awal karier. Beliau menegaskan bahawa XPDC akan terus berjuang dalam industri muzik tanah air.
Republik Mokhmah Records (RMR), sebagai penganjur konsert, turut menyatakan komitmen mereka dalam memastikan konsert ini akan menjadi satu acara yang luar biasa. Encik Musa daripada RMR berkata, “Rock kapak takkan mati, dan lagu-lagu XPDC kekal relevan serta semakin mendapat tempat di hati generasi baharu melalui media sosial.”
Konsert ini mengimbau semula kejayaan besar “Konsert Raksasa Brutal XPDC” pada tahun 1998 di Stadium Negara dan Shah Alam, yang pernah mencatat sejarah dalam arena rock Malaysia. Kali ini, XPDC bersama RMR mahu mengembalikan kehangatan itu dengan sentuhan lebih moden dan kreatif, sejajar dengan perubahan citarasa muzik masa kini.

Harga tiket ditawarkan bermula 30 Julai 2025 menerusi platform iLasso Tickets dengan beberapa kategori pilihan:
- Cat 4 – Samurai: RM198 (Tempat duduk biasa bernombor)
- Cat 3 – Brutal: RM338 (Tempat duduk VIP + t-shirt + poster)
- Cat 2 – Darjah Satu: RM138 (Berdiri bebas)
- Cat 1 – Kita Peng-yu: RM168 (Berdiri di barisan hadapan)
- Royal Box (10 orang): RM5,008 (Bertemu artis + beg cenderahati)
Sebagai bonus istimewa, dua peminat dengan kostum samurai terbaik bakal membawa pulang hadiah eksklusif, manakala cabutan bertuah turut menawarkan tiga gitar Jackson Izo Signature untuk dimenangi oleh pengunjung bertuah.
Konsert XPDC Metalkestra bukan sahaja bakal menjadi acara muzik berprestij, malah turut menyatukan peminat lama dan baharu dalam satu acara penuh nostalgia dan tenaga. Para peminat digalakkan segera mendapatkan tiket sebelum kehabisan.

#Prezcom