
KUALA LUMPUR, 28/7/2025.
Rakyat Malaysia kini berdepan tekanan kos sara hidup yang semakin tinggi selepas kerajaan mengumumkan kenaikan kadar Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) tanpa notis awal yang jelas. Keputusan ini menimbulkan keresahan kerana kekurangan penerangan terperinci, sekaligus mencetuskan perasaan bahawa dasar baharu ini lebih mirip hukuman berbanding polisi yang membantu rakyat.
Pada awal tahun ini, rakyat Malaysia dikejutkan dengan pengumuman kenaikan kadar SST yang dilakukan tanpa perbincangan atau penjelasan mencukupi daripada kerajaan. Situasi ini memburukkan lagi keadaan apabila beberapa barang keperluan harian seperti buah-buahan import, yang sebelum ini dianggap sebagai barangan asas, kini dikelaskan sebagai barangan mewah dan dikenakan cukai tambahan.
Terdahulu pada 2024, kerajaan mengisytiharkan perang terhadap gula sebagai usaha memerangi diabetes dan obesiti di negara ini. Walau bagaimanapun, pengenalan cukai terhadap buah-buahan import telah mencetuskan kekeliruan dan bantahan rakyat kerana dilihat bercanggah dengan hasrat kerajaan menggalakkan gaya hidup sihat.
Tambah memburukkan keadaan, tarif elektrik baharu RP4 yang dilaksanakan baru-baru ini dengan menaikkan kadar asas kepada 45.40 sen bagi setiap kilowatt jam. Walaupun kerajaan menyatakan pengguna boleh menjimatkan sehingga 19 peratus jika penggunaan dilakukan di luar waktu puncak, namun realitinya ramai pengguna tidak mempunyai fleksibiliti atau kefahaman mencukupi untuk memanfaatkannya.
Kumpulan kelas pertengahan, khususnya golongan M40, menerima kesan paling ketara daripada perubahan ini. Mereka tidak layak mendapat subsidi, namun pada masa sama tidak mampu menampung sepenuhnya kenaikan kos hidup ini.

Isu kenaikan gaji minimum turut menimbulkan kontroversi kerana hanya memberi manfaat kepada pekerja baharu, manakala pekerja lama yang setia tidak mendapat penyesuaian gaji sewajarnya. Ini menyebabkan ketidakpuasan hati dalam kalangan pekerja yang berkhidmat lama tetapi menerima pendapatan sama seperti pekerja baharu.
Tambahan pula, cadangan skim insurans kesihatan baharu (MHIT) yang membenarkan pengeluaran daripada Akaun 2 Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) turut dikritik. Ramai yang berpendapat langkah ini tidak wajar kerana ia menggunakan dana persaraan untuk menampung kos kehidupan masa kini, sekali gus mengorbankan kestabilan kewangan masa hadapan.
Kenaikan SST, tarif elektrik, serta cadangan polisi insurans kesihatan ini memberikan kesan langsung kepada kehidupan harian rakyat Malaysia. Pengkritik berpendapat bahawa dasar kerajaan perlu lebih sensitif dan berpijak di bumi nyata, terutamanya dalam suasana ekonomi global yang mencabar.
Menurut Dr. Amirul Aiman, Pakar Ekonomi Universiti Kebangsaan Malaysia, “Kerajaan perlu mengadakan dialog terbuka dan tinjauan awam sebelum memperkenalkan dasar baharu, agar rakyat memahami rasional di sebalik keputusan tersebut. Ini penting bagi mengelakkan persepsi negatif yang kini semakin menebal dalam kalangan masyarakat.”
Beliau juga mencadangkan agar kerajaan mengambil kira beban sebenar yang dialami rakyat sebelum membuat perubahan dasar, terutama sekali dalam situasi ekonomi yang kurang memberangsangkan ini.
Kenaikan kadar SST dan tarif elektrik, serta pengenalan skim baharu yang kurang jelas, nyata menambahkan tekanan kepada rakyat Malaysia, khususnya golongan kelas pertengahan. Kerajaan digesa supaya lebih prihatin dalam melaksanakan polisi yang mengambil kira realiti kehidupan rakyat serta memberikan penjelasan yang lebih telus dan komprehensif sebelum sesuatu dasar dilaksanakan.
#Prezcom