Kursus Keusahawanan KEMAS Selangor Catat Penyertaan Luar Biasa

KLANG, 18/7/2025. Program Latihan Teras Keusahawanan, Coaching dan Mentoring anjuran Unit Pembangunan Komuniti Jabatan Kemajuan Masyarakat Negeri Selangor (KEMAS) menerima sambutan luar biasa dengan kehadiran seramai 29 peserta, melebihi sasaran asal iaitu hanya 20 peserta. Program yang berlangsung pada 16 dan 17 Julai 2025 di Pusat Kegiatan Masyarakat (PKM) Klang, Bukit Raja, Klang bertujuan membina kapabiliti usahawan dalam pelbagai bidang.

Program selama dua hari ini dikendalikan oleh Coach Ts. Megat Zainurul Anuar bin Megat Johari, seorang jurulatih keusahawanan yang berpengalaman luas. Menurut beliau, peserta memberikan komitmen tinggi dari segi kehadiran, ketepatan masa dan penyertaan aktif sepanjang sesi latihan. Peserta terdiri daripada usahawan KEMAS dalam pelbagai industri, antaranya pengusaha kuih tradisional, spa kecantikan dan dandanan diri, pizza, susu segar (SAMIKA), gubahan bunga dan dekorasi serta jahitan dan fesyen.

Coach Megat menyatakan, hampir 80 peratus peserta berada pada tahap Startup, manakala selebihnya pada tahap Seed dan Sustain. Beliau menegaskan, peserta memerlukan bimbingan berterusan bagi memastikan mereka dapat bertahan dan bersaing dengan berkesan dalam industri masing-masing.

Menurut Pengarah KEMAS Selangor, Tuan Noor Azman bin Ab Rahman, penguasaan ilmu keusahawanan amat penting bagi memastikan kelangsungan perniagaan. Dalam ucapannya, beliau dalam nada berseloroh menegaskan bahawa “semua orang boleh membuat karipap, tetapi tidak semua pembuat karipap boleh menjadi usahawan berjaya.” Kata-kata beliau jelas mencerminkan kepentingan penguasaan ilmu serta kemahiran pengurusan perniagaan yang strategik dalam kalangan usahawan.

Kejayaan program ini memberi petanda positif terhadap usaha kerajaan negeri dalam memperkasakan usahawan tempatan, sekaligus meningkatkan taraf ekonomi dan sosial masyarakat setempat.

Selepas kejayaan Siri 1, KEMAS Negeri Selangor merancang untuk meneruskan program Siri 2 pada 4-5 Ogos ini bagi memastikan usahawan terus mendapat bimbingan dan pendedahan yang diperlukan. Kursus keusahawanan ini jelas memberi manfaat besar kepada peserta yang terlibat, membuka peluang untuk mereka mengukuhkan perniagaan masing-masing. Masyarakat diseru agar mengambil peluang menyertai kursus sebegini bagi meningkatkan daya saing dalam dunia perniagaan yang kian mencabar.

#Prezcom