ASEAN Tegas Tangani Bahaya Media Sosial, Wujudkan Ruang Digital Selamat

Kuala Lumpur, 13/7/2025. Negara-negara ASEAN bersedia menerima Deklarasi Kuala Lumpur mengenai Penggunaan Platform Media Sosial secara Selamat dan Bertanggungjawab sebagai usaha bersama menangani penyebaran berita palsu serta mewujudkan ruang maya yang lebih inklusif dan selamat. Ini berikutan peningkatan ketara dalam penyebaran maklumat palsu yang kini dianggap ancaman serius kepada kestabilan sosial dan politik di rantau ini.

Deklarasi ini diumumkan dalam satu kenyataan bersama oleh Menteri-Menteri Luar ASEAN selepas Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN ke-58 yang berlangsung pada 9 Julai 2025 di Kuala Lumpur. Menteri-menteri luar ASEAN secara jelas menyatakan sokongan terhadap komitmen Menteri-Menteri ASEAN Bertanggungjawab bagi Maklumat (AMRI) dalam mempromosikan penggunaan media sosial secara selamat dan bertanggungjawab.

AMRI telah menunjukkan komitmen tinggi dalam meningkatkan kerjasama serantau bagi menangani isu berita palsu dan penyebaran maklumat tidak benar, sejajar dengan aspirasi ASEAN dalam mencapai perpaduan serta pemahaman bersama yang kukuh.

Para menteri juga menyambut baik penerimaan Deklarasi Bandar Seri Begawan yang menegaskan kembali komitmen AMRI dalam memacu kemajuan strategik bidang media dan maklumat, bertujuan memperkukuhkan perpaduan ASEAN serta meningkatkan pemahaman bersama melalui peranan media yang semakin berkembang.

Turut diberi perhatian ialah pembangunan Garis Panduan Penggunaan Platform Media Sosial Secara Selamat dan Bertanggungjawab bagi ASEAN, bertujuan menyediakan pendekatan seragam dalam menangani cabaran digital seiring dengan nilai-nilai bersama ASEAN.

Dalam konteks jangka panjang, ASEAN turut menyatakan penghargaan atas usaha AMRI dalam merangka Pelan Kerja Maklumat dan Media ASEAN (2026-2035) dan Pelan Induk Komunikasi ASEAN III (ACMP III) (2026-2030), yang akan menyelaraskan hala tuju strategik serantau dengan wawasan jangka panjang ASEAN 2045: Masa Depan Bersama Kita.

Malaysia, sebagai tuan rumah deklarasi penting ini, memainkan peranan utama dalam memperjuangkan isu keselamatan siber dan penggunaan media sosial yang bertanggungjawab. Negara ini telah berhadapan dengan cabaran besar akibat penyebaran berita palsu yang telah menjejaskan keharmonian masyarakat serta kestabilan politik.

Kerajaan Malaysia digesa untuk mengambil langkah-langkah konkrit seperti pendidikan media digital secara menyeluruh, serta memperkukuh undang-undang siber bagi memastikan pelaksanaan deklarasi ini efektif dan berkesan di peringkat tempatan.

Penggubalan Deklarasi Kuala Lumpur ini jelas menunjukkan kesungguhan ASEAN dalam menangani isu kritikal media sosial yang boleh membawa implikasi buruk jika tidak dikawal dengan berkesan. Rakyat dan pihak berkuasa diseru bersama-sama menggalas tanggungjawab memastikan persekitaran digital yang selamat, positif dan inklusif.

#Prezcom