Kes Letupan Paip Gas Putra Heights

SHAH ALAM, 6 Julai 2025. Polis Diraja Malaysia (PDRM) secara rasmi menutup siasatan kes letupan paip gas di Putra Heights, Subang Jaya yang berlaku pada 1 April lalu selepas siasatan mendapati tiada sebarang unsur kecuaian, jenayah atau sabotaj dikenal pasti. Bagaimanapun, polis bersedia membuka semula siasatan sekiranya terdapat bukti baharu.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan, mengesahkan klasifikasi kes sebagai “No Further Action” (NFA), susulan hasil siasatan teknikal terperinci terhadap insiden yang melibatkan letupan paip gas bawah tanah tersebut.

“Kami berpuas hati dengan hasil siasatan semasa dan menutup kes buat masa ini. Namun, kes boleh dibuka semula sekiranya terdapat bukti atau maklumat baharu,” jelas beliau ketika ditemui selepas sidang akhbar mengenai kejayaan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor, hari ini.

Tambah beliau lagi, orang awam yang mempunyai maklumat tambahan atau bukti baharu mengenai insiden tersebut dialu-alukan untuk tampil bekerjasama dengan pihak polis.

Insiden pada 1 April lalu telah mencetuskan kebimbangan dalam kalangan penduduk setempat selepas letupan kuat berlaku di kawasan Putra Heights, menyebabkan kerosakan pada infrastruktur awam. Namun, hasil siasatan polis mendapati bahawa kerja-kerja pembinaan premis perniagaan serta penggantian paip pembentungan di kawasan tersebut telah mematuhi garis panduan yang ditetapkan oleh Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ), Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Petronas.

Selain itu, pihak berkuasa tempatan serta agensi berkaitan juga disaran untuk meningkatkan pemantauan berkala di tapak-tapak projek pembangunan bagi memastikan keselamatan orang ramai sentiasa terjamin. Penutupan kes letupan paip gas di Putra Heights adalah berdasarkan hasil siasatan menyeluruh pihak polis yang tidak menemui sebarang unsur jenayah atau kecuaian. Namun, pihak berkuasa tetap bersedia menerima sebarang maklumat baharu demi memastikan keselamatan masyarakat terus terjamin.

#Prezcom