
LONDON, 5 Julai 2025. Varian baharu Covid-19 dikenali sebagai “Stratus” atau XFG melonjak empat kali ganda dalam tempoh sebulan sahaja di United Kingdom (UK), mencetuskan kebimbangan terhadap gelombang jangkitan baharu yang lebih pantas menular. Data terkini Agensi Keselamatan Kesihatan UK (UKHSA) menunjukkan varian ini meningkat daripada 10 peratus pada Mei kepada hampir 40 peratus pada pertengahan Jun lalu.
Menurut Profesor Lawrence Young, pakar virologi dari Universiti Warwick, varian “Stratus” yang merupakan gabungan dua strain Covid-19 berbeza kini merebak dengan amat pantas disebabkan mutasi baharu pada protein spike, menjadikannya lebih berupaya mengelak sistem imun manusia. Varian ini berasal daripada keturunan varian Omicron yang terkenal dengan tahap jangkitan tinggi.
Peningkatan pesat Stratus dikaitkan dengan penurunan imuniti dalam kalangan masyarakat ekoran kadar pengambilan vaksin penggalak musim bunga yang semakin rendah serta penurunan kes jangkitan Covid-19 dalam beberapa bulan kebelakangan ini. “Situasi ini meningkatkan kemungkinan gelombang baharu jangkitan, namun tahap keseriusannya sukar diramal,” jelas Profesor Young.
Walau bagaimanapun, setakat ini tiada bukti menunjukkan varian Stratus menyebabkan penyakit lebih teruk berbanding strain sebelumnya. Pengambilan vaksin Covid-19 juga dikatakan masih berkesan melindungi individu daripada penyakit serius dan kemasukan ke hospital.
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada minggu lalu mengisytiharkan Stratus sebagai “varian di bawah pemantauan” susulan peningkatan pantas varian tersebut di peringkat global yang kini menyumbang 22 peratus daripada kes Covid-19 seluruh dunia.
Pada masa sama, satu lagi varian baharu dikenali sebagai Nimbus turut menunjukkan peningkatan, daripada dua peratus pada April kepada 17 peratus pada Jun menurut data UKHSA. Bagaimanapun, kes keseluruhan Covid-19 mencatatkan sedikit penurunan minggu ini kepada 5.4 peratus daripada jumlah ujian yang dijalankan sehingga 29 Jun lalu.
Dr Michael Gregory, Pengarah Perubatan Serantau NHS England di North West, mengingatkan orang ramai supaya berwaspada dengan simptom seperti tekak perit seperti “dikelar pisau cukur” serta kelenjar leher yang membengkak, terutama sekali berkaitan varian Nimbus.
Perkembangan varian baharu di UK ini harus menjadi perhatian penting kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan pihak berwajib lain. Malaysia yang baru pulih sepenuhnya daripada pandemik Covid-19 perlu mengambil langkah proaktif dengan mempertingkatkan pemantauan sempadan, kesediaan kemudahan kesihatan dan galakan pengambilan vaksin penggalak dalam kalangan rakyat.
Langkah-langkah segera seperti kempen kesedaran awam mengenai simptom baharu, penguatkuasaan pemakaian pelitup muka di kawasan sesak serta galakan ujian kendiri boleh membantu mengurangkan risiko penularan.
Kewujudan varian Stratus yang lebih pantas merebak memerlukan perhatian dan tindakan pantas semua pihak. Pemantauan berterusan, peningkatan kesedaran awam serta pematuhan ketat kepada langkah-langkah pencegahan asas Covid-19 adalah kunci utama dalam menangani ancaman ini.
Pihak berkuasa digesa agar segera melaksanakan langkah berjaga-jaga serta mempertingkatkan tahap kesiapsiagaan negara demi melindungi kesihatan dan kesejahteraan rakyat Malaysia.
#Prezcom