
PUTRAJAYA, 29 JUN 2025. Kerajaan MADANI melalui Kementerian Kewangan (MOF) telah mengumumkan tiga pindaan penting terhadap peluasan skop Cukai Jualan dan Cukai Perkhidmatan (SST), susulan maklum balas rakyat dan pihak industri. Perubahan ini akan berkuat kuasa mulai 1 Julai 2025 bagi memastikan pelaksanaan cukai ini bersifat progresif dan tidak membebankan rakyat serta perusahaan kecil.
Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim berkata, langkah ini adalah hasil libat urus dengan rakyat serta Ahli Parlimen penyokong kerajaan bagi memastikan dasar cukai yang adil dan efektif.
Antara perubahan penting yang diumumkan termasuklah pengecualian Cukai Jualan terhadap buah-buahan import terpilih iaitu epal, oren, limau mandarin dan kurma. Selain itu, kerajaan turut mengulangi komitmen bahawa barangan keperluan harian seperti beras, ayam, daging lembu, telur, sayur-sayuran serta ikan tempatan seperti selar, tongkol, cencaru dan sardin kekal dikecualikan daripada cukai.
Dalam usaha meringankan beban cukai ke atas perniagaan kecil, had nilai ambang jualan tahunan untuk perkhidmatan pajakan atau sewaan serta perkhidmatan kewangan telah dinaikkan daripada RM500,000 kepada RM1 juta. Keputusan ini bertujuan membantu lebih banyak Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) menikmati manfaat pengecualian cukai dan mengurangkan tekanan kewangan terhadap perniagaan kecil.
Kerajaan juga membuat keputusan untuk tidak meneruskan cadangan peluasan Cukai Perkhidmatan ke atas perkhidmatan kecantikan seperti rawatan kuku, wajah serta gunting rambut setelah mempertimbangkan sentimen awam yang diterima.
Isu cukai ini amat penting untuk Malaysia kerana ia berkait rapat dengan kos sara hidup rakyat serta daya saing perusahaan tempatan, khususnya PMKS. Langkah kerajaan ini dilihat sebagai tindakan prihatin dalam mendengar dan mempertimbangkan pandangan semua pihak untuk memastikan dasar fiskal negara kekal inklusif dan adil.
Orang ramai dinasihatkan untuk mendapatkan maklumat sahih berkaitan pelaksanaan SST melalui saluran rasmi MOF dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM). Sebarang pertanyaan atau maklumat lanjut boleh diajukan melalui Pusat Panggilan SST JKDM di talian 03-8323 7406 hingga 03-8323 7417 atau melalui hotline JKDM 1-300-888-500.
Kerajaan MADANI akan terus memantau pelaksanaan perubahan ini bagi memastikan objektif meringankan beban rakyat serta memperkasa ekonomi negara tercapai sepenuhnya.
#Prezcom