
GEORGE TOWN, 7 Jun 2025. Malaysia kini berhadapan dengan ancaman kesihatan awam baharu apabila berlaku peningkatan mendadak kes keracunan vape yang dipercayai berpunca daripada penggunaan bahan terlarang, khususnya vape berperisa ‘Magic Mushroom’. Situasi membimbangkan ini dilaporkan oleh Pusat Racun Negara (PRN) di Universiti Sains Malaysia (USM), Pulau Pinang.
Pegawai Farmasi PRN USM, Mohd Fadhli Razali berkata, pusat berkenaan mencatatkan sebanyak 76 kes keracunan vape antara tahun 2020 hingga 2024 dengan lonjakan ketara dalam tiga tahun terakhir ini.
“Pada 2022, sebanyak 17 kes dilaporkan, meningkat sebanyak 65 peratus berbanding tahun sebelumnya. Jumlah ini terus melonjak kepada 27 kes pada tahun 2023 (peningkatan 79 peratus) dan 26 kes setakat tahun ini (peningkatan 68 peratus),” jelas beliau.
Yang lebih membimbangkan, sebanyak 81 peratus daripada kes ini melibatkan produk yang dipasarkan sebagai ‘Magic Mushroom Vape’, walaupun ujian makmal PRN mengesahkan produk berkenaan tidak mengandungi psilosibin asli, tetapi dicampur dengan dadah sintetik berbahaya.
Menurut Fadhli, majoriti mangsa adalah golongan remaja berusia antara 15 hingga 19 tahun yang mewakili 41 peratus kes, manakala 53 peratus lagi terdiri daripada golongan dewasa muda sekitar umur 20 tahun.
“Mangsa yang terdedah kepada produk vape ini mengalami simptom serius termasuk sawan, muntah, pengsan, halusinasi, khayalan serta tingkah laku agresif, walaupun hanya selepas satu atau dua sedutan sahaja,” katanya.
Ujian lanjut mengesahkan kehadiran dadah sintetik seperti kanabinoid sintetik yang boleh mencetuskan tingkah laku ganas serta memberi risiko kematian.
Berikutan itu, Fadhli menyeru agar penguatkuasaan Akta Racun 1952 diperketatkan lagi, selain menyatakan sokongan penuh terhadap usaha kerajaan negeri untuk melarang penjualan dan penggunaan vape.
Beberapa negeri telah melaksanakan atau merancang larangan tersebut, suatu langkah yang disifatkan PRN sebagai tindakan amat penting untuk melindungi belia Malaysia daripada ancaman penyalahgunaan dadah yang semakin tersembunyi di dalam produk vape.
“Masalah ini bukan lagi isu terpencil, tetapi telah menjadi krisis kesihatan awam. Kami menggesa kerajaan negeri untuk bertindak secara seragam dalam melaksanakan larangan menyeluruh ke atas penjualan vape bagi menghentikan penyebaran bahan berbahaya ini,” tegas Fadhli.
Sementara itu, Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan turut melahirkan kebimbangan sama dengan menyatakan sebanyak 24 kes berkaitan penyalahgunaan vape dengan dadah direkodkan pada tahun lalu di Selangor, manakala 17 kes lagi dilaporkan sehingga bulan lalu.
Terkini, cecair vape mengandungi dadah sintetik dilaporkan semakin popular dalam kalangan pelajar sekolah dengan harga serendah RM1 setiap titisan, seperti yang didedahkan dalam laporan Buletin Utama TV3. Seorang remaja berusia 17 tahun yang hanya mahu dikenali sebagai Zul mengaku mula ketagih bahan tersebut seawal usia 14 tahun.
Susulan itu, tindakan koordinasi segera diperlukan di semua peringkat bagi mengatasi trend membimbangkan ini serta memastikan masa depan generasi muda Malaysia terjamin.
#KKMPrihatin
#MyChampion
#Prezcom