
SEPANG, 4 Jun 2025. Agensi Kawalan Pintu Sempadan (AKPS) KLIA mencatat satu kejayaan besar apabila berjaya menghalang kemasukan serta menghantar pulang seramai 279 warganegara asing dari Bangladesh, Pakistan dan India yang didapati tidak memenuhi syarat kemasukan ke Malaysia, di sini, semalam. Jumlah ini merupakan rekod harian tertinggi bagi kes Not-To-Land (NTL) sejak penubuhan Pasukan Pemantau KLIA pada tahun 2023.
Trend kemasukan warganegara asing secara tidak sah ini dilihat semakin meningkat, khususnya ketika waktu kemuncak ketibaan dan musim cuti umum di Malaysia. Keadaan kesesakan dan aliran pelawat yang tinggi sering dimanipulasi oleh segelintir individu untuk menyelinap masuk dengan menyalahgunakan kemudahan kemasukan. Langkah pengusiran ini merupakan sebahagian daripada usaha berterusan AKPS dalam memperketat kawalan keselamatan sempadan, sekaligus memastikan hanya individu yang benar-benar layak dan memenuhi semua syarat sahaja dibenarkan memasuki negara ini. Semua individu terbabit telah diarahkan pulang ke negara asal
masing-masing serta-merta, selepas proses dokumentasi dan semakan lanjut dijalankan oleh pegawai AKPS.

Sejak ditubuhkan, Pasukan Pemantau AKPS KLIA telah memberi impak positif dalam mempertingkat keberkesanan saringan awal serta pengesanan pelawat berisiko. Kejayaan ini sekali lagi membuktikan komitmen AKPS dalam melaksanakan pemantauan secara tegas dan konsisten, demi menjamin keselamatan dan kedaulatan negara.
Sumber:
Unit Komunikasi Korporat, Jabatan Penerangan Malaysia
Unit Komunikasi Korporat Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS)
#Prezcom